ANTARA kawasan di Shah Alam yang dinaiki banjir kilat petang tadi. - Gambar Twitter alyaa_aq @alyaa_haliqa

JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Daerah Klang hari ini menubuhkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam bagi menguruskan segala kemungkinan banjir di kawasan berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata penubuhan pusat bermula 8 malam tadi akan beroperasi secara 24 jam sebagai persediaan pengurusan bencana daerah dalam mengurangkan risiko dan mudarat yang mungkin akan berlaku.

Abdul Latiff berkata penubuhan PKTK juga berasaskan kepada amaran awal yang diperoleh daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan data yang diberikan oleh agensi berkaitan antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di titik panas kejadian banjir yang telah dikenal pasti.

“Di seluruh negara ada hot spot masing-masing, tapi pengalaman lama (banjir 16 hingga 19 Dis 2021) mengajar kita bagaimana nak urus (bencana) dengan lebih proaktif,” katanya kepada pemberita selepas meninjau PKTK di Taman Sri Muda malam ini.

BERITA BERKAITAN Air naik di Taman Sri Muda, Shah Alam, bomba kata tiada risiko banjir

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 11 pam air disediakan oleh JPS dengan lapan daripadanya diletakkan di Taman Sri Muda dan pihaknya akan menyewa empat lagi pam bagi persediaan menghadapi banjir.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata PKTK itu akan dibuka 24 jam bergantung kepada keadaan cuaca. 

“Pusat berkenaan mula beroperasi pukul 8 malam tadi dengan kekuatan 15 pegawai dan anggota. Kita juga menempatkan lima bot di sini. Ada juga anggota kita yang bersiap siaga di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam sekiranya berlaku kejadian banjir malam ini,” katanya.  

— BERNAMA 

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram