SKUAD hoki kebangsaan. - Gambar fail Bernama

SKUAD hoki kebangsaan melakar sejarah apabila menjulang Piala Sultan Azlan Shah 2022 buat kali pertama apabila menewaskan penyandang juara Korea Selatan 3-2 dalam aksi final penuh mendebarkan di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di Ipoh, malam ini.

Kemenangan tersebut sekali gus menamatkan penantian 39 tahun Speedy Tigers untuk bergelar juara selepas kali terakhir layak ke peringkat akhir pada 2014, namun tumpas kepada Australia 8-3.

Kejayaan dilakar skuad kendalian A. Arul Selvaraj itu juga berjaya membalas dendam atas kekalahan 1-2 kepada Korea Selatan yang mengecewakan impian Malaysia merangkul Piala Asia di Jakarta, Mei lepas.

Pada aksi malam ini, Malaysia terlebih dahulu berada di hadapan apabila Shello Silverius menyempurnakan gol padang pada minit ke-14, sebelum Jang Jonghyun mengikat kedudukan 1-1 seminit kemudian.

Malaysia yang berada di ranking ke-10 dunia terus mengatur gerakan dan hasilnya pengadil Raghu Prasad menghadiahkan pukulan penalti kepada Malaysia pada minit ke-44, yang disempurnakan oleh Muhammad Razie Abdul Rahim untuk menewaskan penjaga gawang Korea Selatan, Kim Jaehyeon.

Ketinggalan satu gol, Korea Selatan terus mengasak untuk gol penyamaan namun benteng pertahanan Malaysia yang diketuai Muhammad Hafizuddin Othman berjaya menghalang serangan pasukan lawan. 

BERITA BERKAITAN Cipta sejarah: Malaysia juara Kejohanan Hoki Dalam Dewan Pila Asia 2022

Sebaliknya, semangat pemain Malaysia terus membara untuk memburu gol dan berjaya menambah jaringan pada minit ke-48 menerusi Muhammad Aminuddin Mohd Zain, sebelum anak buah Kim Byung Hoon merapatkan kedudukan pada minit ke-57 menerusi Jeon Byungjin.

Kedudukan 3-2 berpihak kepada Malaysia itu kekal sehingga wisel penamat.

Pencapaian terbaik Malaysia sejak kali pertama kejohanan ini dianjurkan pada 1983 adalah menduduki tempat kedua sebanyak lima kali iaitu pada edisi 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang turut berangkat menyaksikan perlawanan tersebut berkenan menyampaikan trofi kepada Malaysia.

Sementara itu, Pakistan menduduki tempat ketiga setelah menewaskan Jepun 5-3 semalam manakala Mesir menamatkan kempen di tempat kelima dengan mengalahkan Afrika Selatan 2-1.

Senarai Anugerah:

Juara: Malaysia

Naib Juara: Korea Selatan

Ketiga: Pakistan

Pemain Terbaik Perlawanan: Muhammad Razie Abdul Rahim (Malaysia) 

Penjaga Gol Terbaik: Muhammad Hafizuddin Othman (Malaysia) 

Penjaring Terbanyak: Muhammad Razie Abdul Rahim (17 gol) (Malaysia) 

Pemain Terbaik Kejohanan: Shello Silverius (Malaysia)

Fair Play (Piala Raja Ashman Shah): Jepun

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram