PELAKON Oh My Hantaran, Syazlin Zainal,26, dilaporkan meninggal dunia, hari ini.
Berita duka itu dikongsikan sendiri rakan baiknya iaitu Zeatyalia di Instagram Story miliknya.
“Tiada kenyataan lain yang akan dikongsikan. Saya perlu hormati privasi keluarga arwah.
“Saya kehilangan rakan baik hari ini. Saya tak tahu macam mana nak luahkan perasaan ketika ini.
“Saya juga sedang cuba untuk fahami apa yang berlaku,” tulisnya.
Sementara itu, pengendali Instagram kelab peminat Allahyarham pula berkata akan menutup akaun terbabit.
“Semoga segala urusan dipermudahkan dan mohon maaf atas segala kekurangan atau kekhilafan.
“Akaun Instagram ini akan ditutup,” katanya.
Difahamkan, punca kematian arwah masih dalam siasatan.
Syazlin yang juga pempengaruh media sosial itu merupakan anak bongsu daripada lima beradik dan satu-satunya anak perempuan tunggal dalam keluarga.
Selain drama Oh My Hantaran, Syazlin pernah membintangi beberapa drama lain antaranya Sitik Tok, Dia Yang Ku Jadikan Suami, Takdir Yang Tertunda dan Ada Yang Ngikut.

