Misteri 6 mayat ditemui bergelimpangan, antara tragedi berdarah paling diingati oleh rakyat Jerman

Dari Penulis

PADA petang bertarikh 31 Mac 1922, enam mayat ditemui di sebuah rumah ladang yang terletak 70 kilometer di utara Munich, Jerman.

Rumah itu didiami petani Andreas Gruber,63, dan isterinya, Cazilia, 72 tahun. Turut tinggal di situ adalah anak perempuan mereka Victoria,35, bersama dua anaknya iaitu Cazilia yang berusia 7 tahun (sama nama dengan neneknya), dan Josef, 2 tahun. Victoria merupakan ibu tunggal selepas suaminya mati dalam peperangan.

Beberapa hari sebelum itu, Andreas bercerita dengan jiran-jirannya bahawa dia ternampak kesan tapak kasut asing di sekitar kawasan rumahnya. Andreas juga mendengar bunyi tapak kaki di atas loteng dan turut kehilangan kunci rumahnya beberapa hari sebelum tragedi malang itu menimpa.

Rupa-rupanya apa yang diberitahu Andreas menjadi petanda buruk keluarga tersebut. Pada petang 31 Mac itu, mereka sekeluarga dibunuh kejam.

Mayat mereka hanya ditemui empat hari kemudian. Itu pun setelah jiran datang kerana merasa hairan sudah beberapa hari tidak melihat kelibat keluarga itu.

Bukan hanya lima beranak itu, pembantu rumah mereka, Maria Baumgartner, 44, yang baru sehari bertugas di rumah keluarga tersebut turut ditemui mati.

Rumah ladang di mana keluarga ini dibunuh.
Keluarga Andreas. Lima beranak ini dibunuh kejam dengan pembantu mereka.

Mayat Andreas dan isterinya, serta mayat Viktoria dan anak perempuannya Cazilla ditemui bergelimpangan di dalam bangsal. Manakala dua mayat lagi di dalam rumah. Turut ditemui kapak yang dipercayai menjadi senjata dalam pembunuhan tersebut.

Tragedi itu bukan saja menggemparkan penduduk di situ, tetapi turut membingungkan para penyiasat yang sukar menjejak pembunuhnya.

Awalnya, polis menyangka kes ini bermotif rompakan. Namun, ia berubah apabila barang-barang berharga keluarga ini didapati tidak hilang.

Penyiasat juga haran bagaimana Andreas dan isterinya Cazilia, Viktoria dan anaknya Cazilia boleh diumpan ke bangsal sebelum mereka dibunuh. Lebih aneh, tiada tanda-tanda pergelutan dalam bangsal tersebut.

Menurut teori penyiasat, selepas menamatkan riwayat empat beranak itu, pembunuh masuk ke dalam rumah dan pergi ke bilik di mana ketika itu Josef sedang tidur ditemani pembantu rumah, Maria.

Pembunuh kemudian menamatkan riwayat anak kecil berusia dua tahun itu sebelum menghabiskan nyawa Maria yang tidak mampu melawan. Kedua-duanya mati di bilik tersebut.

Lebih malang buat Maria kerana dia baru saja sampai pagi itu untuk bertugas di rumah keluarga itu. Sebelum kedatangan Maria, pembantu rumah Andreas yang lama sudah enam bulan berhenti kerana mendakwa rumah itu berhantu.

Lokasi di mana mayat ditemui. Kapak yang ditemui merupakan senjata pembunuhan.

Siasatan mendapati pembunuh itu tidak terus melarikan diri, sebaliknya masih terus berada di rumah itu selepas membunuh kesemua mangsa. Ini berdasarkan penemuan saki baki makanan di dapur. Juga ada jiran mendakwa melihat asap keluar dari cerobong rumah Andrea selepas tarikh kematian keluarga itu.

Siapa pembunuhnya?

Lebih 100 orang suspek disoal siasat bermula dari tarikh kejadian sehinggalah ke tahun 1986. Namun, polis masih gagal mengesan pembunuhnya. Malah, pada tahun 2007, siasatan dibuka semula menggunakan peralatan moden, juga gagal mendapat sebarang petunjuk baru.

Pelbagai teori dan gosip dikaitkan dengan kejadian ini. Ada yang mengatakan bahawa kemungkinan suami Viktoria, Karl Gabriel pelakunya kerana mayatnya tidak pernah ditemui. Namun siasatan mendapati, rakan-rakan tenteranya melaporkan mereka melihat sendiri Karl terkorban di medan perang.

Ada pula gosip tentang Josef, anak bongsu Viktoria yang berusia dua tahun. Viktoria hamilkan Josef setelah beberapa tahun suaminya disahkan mati di medan perang.

Timbul desas desus bahawa Josef adalah anak hasil hubungan terlarang Viktoria dengan jiran, atau mungkin dengan Andreas, ayah kandungnya sendiri. Pun begitu, gosip ini sukar dikaitkan dengan motif pembunuhan.

Tengkorak kesemua mangsa dihantar ke Munich untuk dikaji. Malangnya, ia hilang sewaktu Perang Dunia ke-2 tercetus. Mayat kesemua mangsa pembunuhan ini disemadikan tanpa tengkorak mereka.

Sehingga kini, kes pembunuhan keluarga yang dikenali sebagai ‘Hinterkainfeck Murders’ ini antara yang paling kejam dan diingati oleh rakyat Jerman. Siapa pembunuhnya? Mengapa tergamak pembunuh itu meragut nyawa seluruh keluarga tersebut? Persoalan itu kekal misteri sehingga sekarang.

Siapa pembunuhnya kekal misteri sehingga sekarang.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

“Saya bukan main jin!” Tok Dewata bongkar rahsia seni persembahan ‘Main Teri’

Nama Tok Dewata kembali menjadi bualan hangat apabila seni persembahan Main Teri yang melibatkan beliau tular di media sosial.  Namun...

More Articles Like This