Calon Barisan Nasional (BN), Isham Jalil menjalankan kempen pilihan raya di Parlimen Shah Alam.

OLEH: DATUK DR CHAMIL WARIYA

SETELAH mendengar kempen calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Shah Alam, Dr. Afif Bahardin pada malam sebelumnya, malam tadi saya sempat mengikuti kempen calon Barisan Nasional (BN), Isham Jalil pula, anjuran veteran UMNO di ibu negeri Selangor itu.

Dalam kalangan mereka yang hadir pada majlis yang diberi nama Wacana Intelektual pada malam 12 November 2022 itu, mereka tidak ragu-ragu lagi bahawa selepas hari pengundian pada 19 November 2022, calon yang ditampilkan oleh BN bagi menawan kerusi P108, Isham akan bergelar Yang Berhormat.

Malah pengerusi majlis tersebut beberapa kali tersasul memanggil beliau dengan gelaran YB. “Ini tanda calon kita akan menang ni. Sebelum ini saya memanggil beliau YC untuk Yang Dicalonkan,” ujar beliau sambil disambut dengan gelak ketawa para hadirin.

Isham, yang berada di depan bersama tiga orang ahli akademik yang dijemput khas untuk wacana itu turut ketawa.

Beliau yang berucap sebagai ahli panel pertama, sebaik sahaja tiba pada jam 10 malam, menceritakan detik-detik bersejarah bagaimana beliau dipilih oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menjadi calon Parlimen Shah Alam yang tiga penggal berada dalam tangan pembangkang.

Beliau memberitahu: “Presiden memanggil saya meminta saya menandatangani beberapa dokumen, kemudian menyatakan untuk Shah Alam only you can do it.”

Beliau kemudian bercakap tentang pendekatan yang beliau ingin cadangkan untuk mengembangkan ekonomi negara yang menurut beliau masih belum kembali ke tahap sebelum COVID-19 menyerang negara ini walaupun Perdana Menteri mengatakan sebaliknya di Bera pada hari yang sama.

Ini akan dilakukan dengan menarik pelaburan asing dengan mewujudkan kerajaan Persekutuan yang stabil selepas PRU-15 dan memberi tumpuan kepada pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS).

Untuk Shah Alam, tumpuan diberikan kepada keadaan infrastruktur yang masih belum mantap akibat kegagalan kerajaan PH, menyediakan peluang-peluang pekerjaan untuk orang muda dan beberapa yang lain. Beliau menyentuh soal air dan banjir yang tidak kunjung padam di Shah Alam.

Bagi beliau kerajaan negeri telah mengutip cukai yang tinggi sehingga RM3 bilion setahun, tetapi tidak menggunakan hasil kutipan untuk menyediakan infrastruktur yang baik kepada penduduk.

Isham juga menyentuh tentang perpaduan politik Melayu antara UMNO dan PAS yang hanya boleh dicapai sekiranya kehadiran orang ketiga – Bersatu – boleh dilenyapkan. Ini boleh kita lakukan dengan menolak Perikatan Nasional yang beliau dakwa kehadirannya hanya menguntungkan DAP.

Dalam perkahwinan, kehadiran orang ketiga biasanya membawa masalah, ujar beliau.

Dari segi pendidikan, kredential Isham sebagai seorang yang terpelajar tidak dipertikaikan. Beliau adalah lulusan ijazah kelas pertama dari University of Bristol, United Kingdom dalam bidang kejuruteraan.

Beliau kemudian mendalami bidang pentadbiran perniagaan pada peringkat sarjana di The Wharton School, University of Pennsylvania dan seterus ke Harvard University bagi ijazah Sarjana Dasar Awam di Amerika Syarikat.

Barangkali latar belakang pendidikan yang hebat di luar negara ini membolehkan Isham menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Malah dalam pembentangannya di majlis Wacana Intelektual itu, beliau tidak kekok mengungkapkan wawasannya untuk Shah Alam dan negara dalam bahasa Inggeris.

Barangkali Isham tahu bahawa hubungan kerjanya dengan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak antara 2013 hingga 2018 pada mulanya sebagai pegawai khas dan kemudian pengarah gred Jusa B di pejabat Perdana Menteri, dijadikan isu oleh musuh politiknya dalam kempen-kempen di Shah Alam.

Hal ini berlaku kerana sebagai anak didik yang setia dengan mentornya, Isham tidak pernah secara terbuka menjauhkan dirinya dengan Datuk Seri Najib yang kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan-kesalahan rasuah dan salah guna kuasa ketika menjadi Perdana Menteri.

Justeru secara tidak langsung beliau nampaknya ingin menggunakan kesempatan berceramah kepada veteran UMNO Shah Alam itu untuk mempertahankan etosnya sebagai seorang pemimpin yang bersih.

“Sepanjang saya berkhidmat dengan kerajaan, saya tidak mengambil sebarang rasuah. SPRM ada rekod saya,” tegasnya.

Selepas menyampaikan pembentangannya, Isham terpaksa meninggalkan majlis kerana ada janji temu untuk acara lain. Tetapi sebelum itu, beliau bersedia melayan satu soalan sahaja. Seorang veteran Wanita UMNO yang dipanggil Datin bertanya beliau apakah jawatan yang diidamkannya selepas menjadi Yang Berhormat.

“Saya tidak memikirkan soal itu. Tumpuan saya sekarang hanya untuk memenangi Shah Alam,” ujarnya.

Wanita itu kemudian mencadangkan supaya apabila Selangor mengadakan pilihan raya negeri tahun hadapan beliau turut bertanding kerusi DUN untuk menjadi Menteri Besar. Beliau memberitahu itu juga tiada dalam fikirannya pada waktu ini.

Kemudian seorang veteran lelaki mengangkat tangan untuk mengajukan pertanyaan. Beliau membenarkan soalan itu dikemukakan.

Lelaki itu menimbulkan tiga isu utama yang sering dibangkitkan dalam kempen-kempen parti lawan di Shah Alam – soal 1MDB, Tabung Haji dan Felda dan meminta Isham memberi pencerahan bagaimana untuk mereka menjawab isu-isu tersebut.

Isham tidak memberikan jawapan kepada pertanyaan tersebut kerana “bagi saya itulah isu yang dihebohkan oleh pihak sebelah sana. Saya akan fokus kepada tiga isu yang hendak saya bawa.”

Seorang veteran berkata: Dengan membisu seribu bahasa mengenai tiga isu itu, beliau sebenarnya memberi bola tanggung untuk ditendang ke sana ke sini oleh lawan politiknya dalam kempen mereka.

Sebelum meninggalkan pentas utama untuk ke majlis lain yang perlu dihadiri, beliau berterima kasih kepada yang hadir. Wacana Intelektual dilanjutkan dengan pembentangan oleh tiga ahli panel yang lain.

Tentunya untuk menawan Shah Alam, tugas Isham adalah untuk menyakinkan pengundi bukan ahli UMNO untuk memangkah beliau. Hal ini penting kerana pada PRU-14, calon BN waktu itu, Haji Azhari Shaari hanya memperoleh 22,100 undi berbanding jumlah undi yang diterima oleh calon PKR, Khalid Abd Samad sebanyak 55,849 undi.

Bagi PRU-15, terdapat lebih 164,000 pemilih berdaftar bagi Kawasan Parlimen Shah Alam. Mereka akan menentukan sama ada Ihsam akan bergelar YB atau sebaliknya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram