PRU-15: Pilih calon kekal momentum kemakmuran

Dari Penulis

MENJELANG hari mengundi beberapa hari lagi, tentunya para pengundi telah tahu siapa calon yang akan diamanahkan mewakili mereka di Parlimen, yang dalam kalangannya akan memilih siapa selayaknya menjadi Perdana Menteri.

Sayugia diimbas kembali, selepas merdeka, negara ini dengan cepat merangka pelan pembangunan berpenggal, iaitu Rancangan Malaysia (RMK). Ia bermula dengan langkah kiri, apabila kerajaan ketika itu, yang masih dikuasai blok kapitalis, memilih model pembangunan negara berkiblatkan ekonomi pasaran terbuka (free market economy). 

Padahnya, negara berdepan krisis perkauman yang menjadi sejarah hitam dan menjadi pengajaran kepada kita semua, iaitu padah bila tersalah membuat perhitungan.

Mujur, kestabilan negara dapat segera dikembalikan. Model pembangunan ditukar, memilih model pembangunan yang ibarat ‘ukur baju di badan sendiri’. Itulah model pembangunan yang sebati dengan kita, iaitu Dasar Ekonomi Baru 1970 (DEB1970), yang dipandu proses penggubalannya oleh Tun Razak.

Bermulalah DEB1970 dengan RMK2 (1971-1975) yang memfokas kepada pembasmian kemiskinan dan penguncupan jurang kemakmuran (terutamanya antara kaum dan antara wilayah). Satu dunia kagum dengan model pembangunan itu. Kita pula, merasai manfaatnya dari satu proses pengislahan yang amat sifnifikan kepada semua rakyat, secara adil dan saksama.

Sekalipun dasar yang begitu inklusif sifatnya itu dipendekkan riwayatnya hanya selepas 20 tahun ia dilaksanakan, diganti dengan pelbagai dasar yang flip-flop oleh pemimpin yang taksub membina legasinya, namun, momentum pembangunan mengutamakan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara, telah erat didakap oleh beberapa kelompok pemegang taruh, terutama jentera pentadbiran kerajaan dan komuniti masyarakat yang bersifat madani.

Hingga kini, DEB1970 yang telah berusia lebih 50 tahun, masih disebut-sebut dan dihargai impaknya, sekalipun misinya masih belum terlaksana sepenuhnya. Digantilah ia dengan beberapa dasar lain, pun tetap DEB1970 itu jua sering disebut-sebut dan dikaitkan dengan prestasi pembangunan semasa. Dicemuhlah ia dengan pelbagai tohmahan, kononnya ia Dasar Bumiputera, pun tetap ianya dijadikan rujukan dalam memacu pertumbuhan ekonomi semasa.

Selepas sebelas penggal Rancangan Malaysia dilaksanakan, konsisten dengan model pembangunan global semasa, negara mengubahsuai model pembangunannya, bila mana merancang RMK12 berpandukan kepada model kemakmuran atau model beyond growth.

Pun begitu, asas pembangunannya tidak lari dari apa yang telah termaktub dalam DEB1970, iaitu model pembangunan yang inklusif, adil dan saksama. Kerana itulah, sekali pun domain politik dan kepimpinan alami fasa ketidaktentuan sejak dua PRU yang lepas, ekonomi global alami beberapa gelombang kegawatan, inflasi tidak pernah reda dan pengangguran menyebabkan kelompok kemiskinan tegar wujud kembali, negara masih mampu mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.

Sebagai contoh, lihatlah kepada perangkaan KDNK terkini yang baru diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) bagi suku penggal ketiga 2022 (ST3 2022) yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi negara pada paras 14.2% (ST2 2022 @ 8.9%). Realitinya, sekalipun berdepan pelbagai cabaran dan dugaan, asas pembangunan telah terbina kukuh.

Hendaknya, dalam kesibukan dan keghairahan memilih calon, kita tidak terperangkap, terpilih calon yang populis semata-mata. Hendaknya kita para pengundi, bijaksana memilih mereka yang mampu mengekalkan momentum kemakmuran yang telah terbina sekian lama, bukan memilih mereka yang gemar membina legasi masing-masing. 

Tentunya pengundi kenal siapa diantara mereka itu yang berkeperibadian sebagai populis dan pencinta legasi. Percayalah, mereka itu bukan dikalangan pemimpin mahmudah yang kita semua idamkan.

Baca artikel berkaitan: Lebih banyak bantuan kepada rakyat jika PRU-15 wujudkan kestabilan

Di penghujung rencana ini saya paparkan wishlist yang wajar dipertimbangkan oleh para pengundi bagi setiap domain kemakmuran, dalam menilai calon yang bagaimana menjadi idaman kita semua.

  1. Politik dan Kemakmuran

Calon bersifat mahmudah, bukan calon populis atau calon pencipta legasi. Calon wajib berkeperibadian seorang khalifah.

  1. Governan dan Integriti

Calon yang komited pastikan jentera pentadbiran kerajaan lebih bersih, cekap dan amanah, serta mampu pertingkatkan keberkesanan perlaksanaannya.

  1. Pendidikan dan Kebudayaan

Calon yang kompeten pastikan pendidikan utamakan proses pembudayaan insan menjadi lebih rabbani, bukan mengkomersilkan pendidikan untuk memenuhi kehendak blok kapitalis.

  1. Ekonomi dan Keusahawanan

Calon yang dipilih hendaklah mereka yang ada acumen bagi perkasakan ekonomi untuk semua secara adil dan saksama serta bangunkan dunia keusahawanan bagi lahirkan pemain industri berdaya saing tinggi dan mampu bermain terutamanya di pentas global.

  1. Keselamatan dan Pertahanan

Calon yang dipilih wajib komited pastikan sistem keselamatan negara tidak bocor atau diceroboh atau digodam. Ia termasuk keselamatan data sebagai aset penting negara.

  1. Kesihatan dan wellbeing

Calon yang hendak dipilih wajib ketahui bahawa kesihatan dan wellbeing adalah domain kemakmuran yang sama dan setara pentingnya dengan lain-lain domain kemakmuran.

  1. Pembangunan insan rabbani

Calon yang hendak dipilih wajib ketahui apa sebabnya Indonesia laksanakan Gerakan Revolusi Mental Nasional yang dilancarkan pada 14 Ogos 2015 oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi. Ia kerana Indonesia insaf dengan tiga musibah yang menimpanya kerana terlalu lama menjadi negara yang bergelumang dengan rasuah, tercicir jauh dalam pembangunan ekonomi dan rakyat yang semakin kendur jati dirinya. 

Gerakan ini dipacu bagi bina semula Indonesia yang berdaulat, insannya berkeperibadian dan negara yang berdikari dari segi ekonominya.

Tiba masanya kita gerakkan semula Program Revolusi Mental 1970 yang dipinggirkan oleh segelintir pemimpin terdahulu, sekali pun dilihat cuba meniru Indonesia. 

Calon terpilih wajib terajui usaha bina semula proses bina insan rabbani yang bermaruah, berkeperibadian, kental jati diri dan tinggi keupayaan swatadbir urus diri.

  1. Alam sekitar dan Sumber Asli

Calon yang hendak dipilih wajib ada naluri sebagai pencinta alam sekitar dan sanggup lindungi sumber asli negara dari dieksploitasi, apatah lagi daripada dicuri atau diseleweng.

  1. Hak Asasi

Negara sering dicabar untuk ubah acuan hak asasi kita mengikut acuan Barat yang tidak secocok dengan acuan hak asasi kita yang konsisten dengan peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan. Hatta, calon pilihan kita wajiblah dalam kalangan mereka yang berani pertahankan hak asasi kita.

Hendaknya, menjelang 19 November nanti, kita semua bijaksana memilh calon yang komited meneruskan momentum pembangunan negara yang dibina mengikut acuan kesejahteraan, kemakmuran dan keharmonian serta kestabilan yang telah kita semua bina bersama sekian lama.

Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Sultan Selangor hargai kesinambungan pentadbiran jayakan LRT3

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menegaskan kejayaan merealisasikan projek Laluan LRT3 Shah Alam adalah hasil kesinambungan perancangan serta...

More Articles Like This