Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan penduduk setempat dalam program Tinjauan Mesra di pekan Durian Tunggal, Alor Gajah, baru-baru ini.

PENERIMAAN kaum Cina terhadap Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilihat semakin bagus berbanding pilihan raya yang lepas.

Perkara itu menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menambah keyakinan kepada BN untuk menang dalam pilihan raya kali ini.

Jelas beliau, perubahan penerimaan rakyat termasuk pengundi di kawasan bandar jelas kelihatan sepanjang tempoh kempen PRU-15 berlangsung setakat ini.

“Saya yakin setakat hari ini daripada segi mood, di Parlimen Bera, saya sendiri berada di sini sepanjang hari. 

“Saya juga sempat ke Johor serta Alor Gajah, Melaka. Saya lihat mood pengundi ini telah banyak berubah berbanding PRU-14.

“Semasa PRU-14, kita boleh kesan daripada awal lagi (mood berbeza) tapi untuk kali ini keadaannya berbeza.  

“Bukan setakat dalam kalangan pengundi Melayu mahupun pengundi bandar, tetapi juga pengundi bukan Melayu terutamanya kaum Cina yang sudah menampakkan penerimaan yang jauh bagus berbanding PRU-14,” katanya.

Baca lagi: Pencalonan Ismail Sabri sebagai PM10 oleh parti adalah jelas

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara Khas Kestabilan dan Kemakmuran Bersama YAB Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam tadi.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, perjalanan kempen PRU-15 di seluruh negara setakat ini masih berjalan dengan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya, walaupun hanya ada sedikit kekecohan sewaktu penamaan calon pada 5 November lalu, tetapi tiada isu besar melibatkan provokasi keganasan melampau.

“Setakat hari ini, masih tidak ada apa-apa yang serius. Saya mengharapkan supaya keadaan harmoni semasa berkempen ini diteruskan sehinggalah hari mengundi pada 19 November nanti,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan tidak semua golongan dapat menikmati inisiatif yang diperkenal dan dilaksanakan oleh Ismail Sabri, beliau menyangkal perkara tersebut.

Menurut Ismail Sabri, Belanjawan 2023 sebanyak RM372.3 bilion yang merupakan terbesar dalam sejarah merupakan bajet terbaik untuk rakyat.

Jelas beliau, bajet kali ini mencakupi keseluruhan Keluarga Malaysia di bandar, luar bandar, kumpulan B40, M40 dan T20.

“Apabila kita berikan subsidi, ia adalah subsidi terbesar dalam sejarah dengan jumlah RM77.7 bilion tahun ini. 

“Mereka yang menikmati subsidi tersebut bukanlah B40 semata-mata, tetapi adalah semua sekali termasuk T20.

Subsidi minyak semua dapat, subsidi elektrik pun semua dapat, tidak kiralah sama ada rumah orang kaya atau rumah orang miskin. 

“Dulu kita fokus kepada B40, kali ini M40 pun kita berikan perhatian malah juga T20, semua pun dapat. Secara keseluruhannya semua dapat faedah daripada apa yang kita bentangkan ini,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram