PAKATAN Harapan (PH) menawarkan suatu formula kestabilan kerajaan kepada rakyat Malaysia dengan melaksanakan dasar-dasar untuk mengembalikan kegemilangan negara.

Jaminan itu disuarakan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dalam perutusan khas yang dimuatnaik ke Facebook, Anwar berkata, PH terdiri daripada satu pasukan yang komited terhadap agenda yang mengangkat budaya ihsan dan rahmat buat seluruh rakyat Malaysia.

Menurut Anwar, pemimpin PH telah membuktikan kejujuran dan integriti menerusi khidmat kepada rakyat.

Calon Perdana Menteri PH itu menegaskan, PH juga akan memulihkan keyakinan antara rakyat dan kerajaan sekiranya menang pada PRU-15.

Malah, Anwar turut memberi jaminan bahawa PH akan merangkul kerjasama semua kaum sama ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan Orang Asli dalam mencorak masa depan yang lebih sejahtera.

Baca artikel berkaitan: Segera putuskan untuk tunda atau teruskan PRU-15, gesa Nurul Izzah

“Selepas PH mengambil alih kerajaan, saya tidak sesekali akan mengizinkan bertunasnya kebencian.

“Saya tegaskan bahawa sikap permusuhan dan kebencian sesama kaum tidak ada tempat dalam negara kita.

“Inilah caranya untuk menjamin kebajikan setiap rakyat Malaysia dan menzahirkan sikap ihsan terutama buat mereka yang sedang menghadapi pelbagai ujian dan cabaran,” katanya dalam perutusan tersebut.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga calon PH bagi kerusi Parlimen Tambun berkata, pilihan raya ini bukan hanya soal menukar Perdana Menteri semata-mata.

Kata beliau, pilihan raya ini merupakan peluang terbaik untuk menyelamatkan negara dan melakukan perubahan yang menyeluruh bagi memulihkan negara.

“Tiap lima tahun sekali saudara punyai kuasa untuk menentukan ke mana hala tuju negara.

“Tiap lima tahun sekali, saudara punyai kuasa untuk menentukan kerajaan bagaimana yang saudara impikan.

“Manfaatkanlah kuasa demokrasi di tangan saudara dengan sebaik mungkin. Yakinlah, insya-Allah bahawa kita masih punyai harapan. Bersama kita boleh,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram