PERNAH melalui pelbagai pahit getir dalam usaha membangunkan Tadika Bestari Cerdas, namun ia tidak mematahkan semangat Farisha Arwati Ahmad untuk mengembangkan perusahaan itu yang diusahakannya sejak 15 tahun lalu.

Farisha Arwarti, 45, yang berasal dari Parit Buntar, Perak merupakan peserta Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sejak Februari 2012.

Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Perniagaan dari Universiti Malaya itu mula menyertai Sahabat Usahawan AIM melalui salah seorang kenalan yang memaklumkan kepadanya supaya membuat pinjaman melalui AIM untuk memajukan lagi perusahaan tadika yang dijalankannya.

“Pada mulanya saya membuka tadika ini dengan menggunakan wang simpanan sebagai modal permulaan. Saya kemudiannya  menyertai AIM dan mula membuat pinjaman untuk dijadikan modal bagi mengembangkan tadika yang saya usahakan.

 “Pinjaman pertama adalah sebanyak RM3,000 dan saya hanya membuat tempoh pinjaman selama enam bulan sahaja yang perlu dibayar secara mingguan dan selepas itu saya membuat beberapa pinjaman lagi sehingga RM25,000.

“Menerusi pinjaman AIM ini, saya dapat menggunakan wang pinjaman untuk digunakan membeli salah sebuah rumah secara tunai yang dijadikan sebagai tadika, membaik pulih tadika serta melakukan pendawaian elektrik baharu untuk keselesaan kanak-kanak dan juga guru,” katanya ketika ditemui di Bandar Seri Botani di Ipoh, baru-baru ini.

Baca lagi: Sahabat AIM miliki kilang proses 100 produk sejuk beku

Beliau berkata,  tadika itu mempunyai 70 orang kanak-kanak iaitu 30 orang kanak-kanak berkeperluan khas manakala selebihnya adalah kanak-kanak normal serta mempunyai tujuh tenaga pengajar yang memiliki kelayakan seperti diploma dan ijazah.

“Kita juga memberi pendedahan kepada kanak-kanak berkeperluan khas ini sama seperti kanak-kanak normal supaya mereka tidak berasa terasing dan mudah bercampur gaul dengan rakan sebaya,” katanya.

Menceritakan pengalaman semasa mengusahakan tadika berkenaan, Farisha Arwati berkata ada mulanya ada ibu bapa yang menghentikan pembelajaran anak mereka apabila mereka mendapat tahu tadika itu turut mengajar kanak-kanak berkeperluan khas seperti lembam dan autisme.

“Sehingga pada satu ketika saya tidak cukup untuk membayar gaji tenaga pengajar dan membayar bil utiliti, namun menerusi pinjaman AIM ini, ia sangat-sangat membantu saya menyelesaikan segala kekurangan itu.

 “Lama kelamaan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sini sudah mula memahami mengenai sistem pembelajaran di sini kerana tadika ini mengasingkan kelas pembelajaran antara kanak-kanak biasa serta kanak-kanak berkeperluan khas. 

Farisha Arwati berkata, sehingga kini beliau telah membuat pinjaman lebih dari RM100,000 sejak menyertai Sahabat Usahawan AIM dan menurutnya membuat pinjaman melalui AIM tidaklah sesukar mana seperti institusi perbankan atau syarikat pemberi pinjam wang yang memerlukan pelbagai dokumen untuk memohon selain perlu menunggu tempoh yang agak lama untuk mendapat wang pinjaman.

“Di AIM saya tidak perlu menunggu lama dan hanya perlu mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan untuk membayar balik pinjaman. Jumlah pinjaman yang agak besar pun saya hanya perlu menunggu tidak sampai sebulan untuk menerimanya,” katanya.

Farisha Arwati melahirkan kesyukuran dan mengucapkan terima kasih kepada AIM kerana memberikan pinjaman wang kepadanya sekali gus dapat membantu perusahaan tadika itu bertambah baik.

“Kebiasaannya, mereka yang membuat pinjaman AIM ini untuk menjual produk atau makanan, tetapi saya dalam bidang pendidikan, jadi agak ‘rare’ dari yang lain. Saya membuktikan dengan AIM ini saya dapat menggunakan sebaik mungkin wang pinjaman yang saya peroleh untuk memajukan lagi tadika ini,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram