BUAT pertama kalinya dalam sejarah, PAS menyapu bersih kesemua tujuh kerusi Parlimen di Terengganu yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini. 

Kemenangan besar 8-0 Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan logo PAS di Terengganu itu turut  menyaksikan seorang calon daripada Bersatu berjaya memenangi satu kerusi.

Antara calon Barisan Nasional (BN) yang tewas termasuk bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said di Parlimen Kemaman dan bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang gagal mempertahankan kerusi Kuala Nerus.

Dua timbalan menteri iaitu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim yang bertanding atas tiket PAS masing-masing menang di Parlimen Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu.

Di Kemaman Che Alias Hamid daripada PAS menang dengan majoriti 27,179 undi, manakala di Dungun yang merupakan kubu kuat PAS, Wan Hassan Mohd Ramli berjaya mempertahankan kawasan itu dengan majoriti 34,105 undi.

BERITA BERKAITAN PRU-15: PAS mendahului di semua 8 Parlimen di Terengganu

Di kerusi panas Parlimen Kuala Nerus Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Dr Alias Razak yang pertama kali bertanding di peringkat parlimen menang majoriti 29,765 undi.

Menepati ramalan, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menang buat kali keempat berturut-turut dengan majoriti 41,729 di Marang manakala di  Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad meraih majoriti 40,907 undi. 

Di Setiu penyandang kerusi Shaharizukirnain Abd Kadir mempertahankan kerusi parlimen itu dengan majoriti 19,032 undi dan di kawasan yang dikatakan kubu kuat UMNO selama ini iaitu Parlimen Besut menyaksikan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh daripada PAS meraih majoriti 18,666 undi.

Rosol yang merupakan calon tunggal daripada Bersatu yang menggunakan lambang PAS turut berjaya mempertahankan Parlimen Hulu Terengganu yang dimenanginya pada 2018 atas tiket BN, dengan majoriti 15,734 undi.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram