Bertemu nabi khidir a.s.
Sekadar gambar hiasan

Penulis pernah dimaklumkan ada hamba Allah di Pahang dan Negeri Sembilan yang mendakwa selalu dikunjungi oleh Nabi Khidir a.s. dalam pelbagai rupa untuk membantunya melakukan rawatan.

Di Terengganu pula, ada yang mendakwa diajar ilmu laduni oleh Nabi Khidir dan orang-orang tertentu. Mungkin ini adalah satu kelebihan yang Allah S.W.T. kurniakan kepada mereka dan ia tidak mustahil boleh terjadi. Namun, dari satu sudut, kita perlu merujuk kepada Al-Quran dan sunnah untuk menilai sama ada ianya sesuatu yang benar dari Allah, atau hanya tipu daya jin, syaitan dan iblis.

Dalam Al-Quran, terdapat satu kisah pertemuan antara Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khidir a.s. untuk mempelajari ilmu laduni. Rasanya elok jika kisah ini dikupas sebagai pendedahan dan panduan dalam memahami perkara-perkara aneh dan luarbiasa ini.

Kisah ini diabadikan oleh Allah dalam surah Al-Kahfi bermula ayat 60-82. Menurut Imam al-Razi dalam tafsirnya, Nabi Musa a.s bertanya kepada Allah, adakah terdapat manusia yang lebih alim dari Baginda. Lalu Allah berfirman bahawa ada seorang hamba yang lebih alim iaitu Khidir.

Nabi Musa a.s. lalu memohon kepada Allah untuk bertemu dan belajar dari Khidir. Para ulama berselisih pendapat tentang siapakah Khidir ini. Ada yang mengatakan beliau adalah wali Allah. Namun, majoriti berpendapat bahawa beliau adalah salah seorang Nabi.

Perjalanan Musa yang jauh untuk bertemu Khidir

Kita mulakan kisah ini dengan meneliti firman Allah dalam surah Al-Kahfi: 60,

“Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada muridnya: ‘Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai di pertemuan dua buah lautan; atau aku akan terus berjalan sampai bertahun-tahun.”

Ayat di atas menceritakan beberapa syarat penting untuk bertemu Khidir. Syarat yang pertama ialah kesungguhan dan kesabaran yang tinggi. Itulah yang dipamerkan oleh Nabi Musa a.s. Baginda berazam tidak akan berhenti berjalan walaupun terpaksa mengambil masa bertahun-tahun semata-mata untuk bertemu Khidir.

Syarat kedua, sifat merendah diri dan tawaddu’. Walaupun Musa sudah bergelar Rasul dan mempunyai murid dan pengikut yang ramai, Baginda tetap merendah diri untuk berguru dengan seorang nabi yang bukan bertaraf rasul.

Yang ketiga, masa dan lokasi pertemuan adalah rahsia dan tiada siapa boleh menentukannya kecuali Allah. Nabi Musa hanya diperintahkan membawa bekalan dan berjalan terus sehingga sampai pertemuan antara dua laut yang Baginda sendiri tidak tahu di mana dan bila.

Ketiga-tiga syarat di atas jelas menunjukkan bahawa untuk bertemu dengan Nabi Khidir bukan semudah yang disangka. Hatta Nabi Musa yang bergelar ulul azmi pun terpaksa menempuh perjalanan yang jauh dan sukar sebelum diizinkan Allah bertemu dengan Nabi Khidir.

Oleh itu, sekiranya ada yang mendakwa selalu dikunjungi Nabi Khidir, maka perhatikanlah tahap kesungguhan dan keazaman yang ada pada orang itu. Jika ternyata dia seorang yang tiada kesungguhan dan tiada sifat mujahadah dalam melawan hawa nafsu sebagaimana nabi Musa a.s., maka dakwaan tersebut perlu dinilai semula adakah benar yang datang itu Nabi Khidir atau hanyalah helah dari syaitan. Wallahu a’lam

Oleh: Dr. Mahyuddin bin Ismail, Pensyarah kanan, Universiti Malaysia Pahang

____________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram