rahsia sebenar ilmu laduni

Bagi menghuraikan rahsia perbuatan Nabi Khidir, Allah S.W.T. berfirman dalam ayat 78-79:

Adapun bahtera itu adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut, dan aku sengaja merosakkan bahtera itu, kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang merampas tiap-tiap bahtera.”

Perbuatan Khidir merosakkan bahtera nelayan merupakan salah satu cabang ilmu laduni yang berupa kasyaf. Dengan kurniaan tersebut, Khidir dapat melihat apa yang sedang berlaku di pelabuhan yang jauh dari lokasi mereka berada. Khidir melihat setiap bahtera yang sampai di pelabuhan tersebut diperiksa oleh raja.

Bahtera-bahtera yang berkeadaan elok akan dirampas, manakala bahtera yang rosak dan berlubang akan dibiarkan. Oleh sebab itu, Khidir sengaja melubangi bahtera itu agar raja tidak akan merampasnya.

Baca artikel berkaitan: Siri 3: Kisah nabi Musa a.s. berguru ilmu laduni dengan nabi khidir a.s.

Dikalangan ahli sufi, kasyaf ini dikenali sebagai Toyyu al-Makan iaitu hijab pandangan zahir dilipat atau diangkat sehingga seseorang mampu melihat apa yang sedang berlaku di satu tempat yang jauh dari tempat ia berada. Saidina Umar r.a. pernah dikurniakan kasyaf ini sehingga beliau dapat melihat tentera Islam yang berada kira-kira 500 km dari Madinah dalam keadaan bahaya.

Bagaimanapun, kasyaf sebegini hanya terjadi sekali sekala dan tidak boleh diprogramkan. Oleh kerana itu, pada malam Saidina Umar dibunuh, beliau tidak nampak musuh yang hendak menikamnya walaupun musuh itu berada di belakang beliau. Sekiranya seseorang dikurniakan kasyaf sebegini, ia perlu disembunyikan dan tidak boleh dihebahkan.

Itulah yang ditunjukkan oleh Khidir a.s. Baginda tidak menceritakan apa yang dilihatnya kepada Musa sehingga menyebabkan Musa tidak dapat bersabar atas tindakannya itu. Oleh itu, sekiranya seseorang itu mendakwa dikurniakan kasyaf dan ianya dihebah-hebahkan kepada orang lain, itu menandakan kasyaf tersebut bukan ilmu laduni, tetapi adalah kasyaf dari jin dan syaitan.

Rahsia kenapa Khidir membunuh budak

Allah S.W.T. mengungkapkan rahsia seterusnya dalam dalam ayat 80-81,

Dan adapun anak itu maka kedua orang tuanya adalah orang-orang mukmin dan kami khuatir bahawa dia akan mendorong orang tuanya itu kepada kesesatan dan kekafiran. Dan kami menghendaki supaya Tuhan mereka mengganti bagi mereka dengan anak yang lebih baik kesuciannya dari anaknya itu dan lebih dalam dari kasih sayangnya (kepada ibu dan bapaknya).”

Dalam kejadian ini, nabi Khidir dikurniakan kasyaf sehingga dapat melihat apa yang akan berlaku di masa lepas dan masa hadapan. Ini dikenali sebagai Toyyu al-Zaman iaitu hijab pandangan zahir dilipat atau diangkat sehingga boleh melihat merentasi masa.

Menurut Imam al-Khazin dalam kitabnya Lubab al-Ta’wil fi Ma’ani Al-Tanzil, budak yang dibunuh nabi Khidir a.s. bernama Haisur. Ibu dan bapanya adalah orang yang soleh. Dengan izin Allah, Khidir dapat melihat apa yang telah dilakukan oleh budak ini pada masa lepas dan akan datang.

Budak ini selalu mencuri dan apabila dewasa, dia akan menjadi kafir dan memaksa kedua orang tuanya kepada kekufuran. Peristiwa ini menunjukkan bahawa Khidir a.s. adalah seorang yang sangat berhati-hati dalam soal iman dan akidah. Baginda tidak akan membiarkan seseorang memaksa seorang yang lain melakukan kekufuran.

Oleh itu, sekiranya seorang yang mendakwa dirinya dikurniakan ilmu laduni dengan tujuan untuk bermegah dan menunjukkan kehebatan diri, sudah pasti orang itu akan dihukum oleh nabi Khidir lantaran perbuatan bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk itu adalah sebahagian dari perbuatan kufur.

Rahsia Khidir membina semula tembok

Berkenaan rahsia tembok, Allah berfirman dalam ayat 82,

Adapun dinding rumah itu adalah kepunyaan anak yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka berdua, sedang ayahnya seseorang yang soleh, maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka sampai kepada kedewasaannya dan mengeluarkan simpanannya itu, sebagai rahmat dari Tuhanmu; dan bukanlah aku melakukannya itu menurut kemahuanku sendiri. Demikian itu adalah tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.”

Apa yang diungkapkan Khidir menunjukkan bahawa pengetahuan baginda tentang sesuatu yang ghaib adalah kurniaan secara langsung dari Allah. Ini adalah bukti bahawa ilmu laduni tidak boleh dipelajari atau diwarisi. Ianya dikurniakan terus dari Allah untuk hamba-hamba Nya yang mempunyai sifat ikhlas hati dan kesabaran yang tinggi. Sesiapa yang mendakwa dapat mempelajari ilmu laduni dari seseorang, sesungguhnya dakwaan tersebut adalah batil.

Demikianlah pelajaran dan pengajaran yang didapati dari kisah pengembaraan Nabi Musa dan Nabi Khidir. Walaupun kelihatan seolah-olah Musa gagal memperolehi ilmu laduni, sebenarnya tidak begitu.

Hasil ujian yang dilalui Musa ketika bersama Khidir, baginda dikurniakan kasyaf yang istimewaiaitu dibukakan hijab pandangan batin sehingga dapat melihat kekurangan diri sendiri seperti rasa besar diri, gopoh, kurang mujahadah, kurang syukur, kurang keyakinan kepada Allah dan pentingkan diri.

Hasilnya, Allah kurniakan ilmu laduni yang lebih istimewa secara terus ke dalam hati baginda iaitu sifat tawaddu’, sabar, mujahadah, ikhlas, syukur, tawakal, redha dan mahabbah. Sifat-sifat tersebut lebih penting kerana ia akan mendekatkan diri kita kepada Allah.

Ianya lebih bernilai berbanding mendapat ilmu kasyaf suwari (iaitu kebolehan melihat gambaran sesuatu yang telah atau akan berlaku) yang hanya bersifat duniawi. Inilah yang dianjurkan dalam Islam agar kita dapat mengenal kekurangan diri dan memperbaikinya agar menjadi hamba Allah yang benar-benar bertaqwa.

Berdasarkan kisah ini, para ulama tasawuf mengatakan sekiranya seseorang ingin memperbaiki hati yang rosak dan dipenuhi sifat mazmumah, maka dia perlu mencari seorang guru mursyid yang memahami syariat dan hakikat. Mudah-mudahan guru tersebut dapat membantu kita mengenalpasti kekurangan diri dan membimbing proses pembersihannya (tazkiyyah an-Nafs).

Apabila hati telah bersih, maka mudahlah cahaya ilmu Allah untuk menyuluh masuk. Apabila cahaya ini sudah menerangi hati, maka ia akan menyuburkan sifat-sifat mahmudah sebagaimana yang dikurniakan kepada Nabi Musa a.s. Itulah sebahagian cahaya dari pelbagai cahaya ilmu laduni milik Allah yang sebenar.