Seorang penjual buah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat terhadap bas yang membawa pemain dan pegawai Selangor FC, selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia malam Isnin lepas.
Mohamad Hadi Wahab, 27, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan khianat terhadap harta benda milik Syarikat E-Mutiara menyebabkan kerugian RM15,000 di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini pada 12.05 tengah malam Isnin.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara setahun hingga lima tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Dis untuk sebutan semula kes.
Baca artikel : Piala AFF: Lee Tuck, Sergio Aguero dipanggil sertai latihan pusat
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Khairi Mohamed Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu di hadapan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukrie, lima lelaki berusia 24 hingga 37 tahun direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes sama.
Terdahulu Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata lima suspek yang direman itu berjaya ditangkap dalam satu operasi di sekitar Kuala Terengganu semalam antara jam 11 pagi hingga 8 malam.
Katanya tangkapan terhadap mereka dibuat susulan penahanan suspek pertama pada Selasa lepas, yang dituduh hari ini.
Insiden yang berlaku selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di SSMZA pada malam Isnin itu dipercayai bermula apabila sekumpulan 300 penyokong Terengganu FC (TFC) berkumpul di luar kawasan pagar SSMZA, di laluan keluar penyokong pasukan Selangor FC.
Bagaimanapun, polis bertindak menyuraikan perhimpunan itu dan mengarahkan kumpulan tersebut beredar dari kawasan stadium.
Namun semasa bas yang membawa pegawai dan pemain pasukan Selangor FC itu bergerak balik ke hotel penginapan dengan diiringi pihak polis, beberapa kumpulan tiba-tiba bertindak liar dengan melontar objek keras serta batu.
 — BERNAMA
Thursday , 24 November 2022
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

