Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. GAMBAR: BERNAMA

KERAJAAN Sabah memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya dengan Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk manfaat dan kebaikan bersama.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) atas pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor turut menaruh keyakinan akan wujud kerjasama erat untuk merealisasikan pelbagai aspek pembangunan.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata ia termasuk usaha menunaikan hak-hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan yang baharu dibentuk di bawah kepimpinan Anwar.

“Pengalaman luas Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini akan mampu membawa kebangkitan ekonomi yang sangat diperlukan untuk rakyat dan pembangunan seluruh negara pada masa depan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau juga berharap manifesto PH termasuk memperkasa wilayah Sabah dan Sarawak dapat dilaksanakan sebaiknya.

Baca artikel berkaitan: GPS setuju sertai kerajaan pimpinan Anwar, akur titah Agong

Anwar hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 Nov menyaksikan keputusan PH memperoleh 82 kerusi; Perikatan Nasional 73 kerusi; Barisan Nasional (30); Gabungan Parti Sarawak (23); GRS (enam); Parti Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

Di PENAMPANG, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berharap dapat menjalin kerjasama dengan Anwar bagi melaksanakan hak-hak Sabah yang termaktub dalam MA63.

Naib Presidennya Datuk Ewon Benedict berkata ini termasuk usaha melaksanakan MA63 terutama melibatkan hak 40 peratus Sabah ke atas hasil persekutuan di negeri ini yang sangat diperlukan untuk pembangunan rakyat.

“UPKO juga berharap dapat bekerjasama dalam melaksanakan agenda PH untuk rakyat Sabah seperti dinyatakan dalam Tawaran ‘Kita Boleh’ PH pada PRU15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ewon juga mengalu-alukan kerajaan perpaduan bakal dibentuk dapat merangkumi penyertaan semua parti, kaum dan wilayah, selain mencadangkan kepada Anwar sebagai Pengerusi PH, penyertaan UPKO dalam Kabinet demi menjayakan agenda PH khususnya untuk Sabah.

UPKO merupakan antara parti komponen PH bersama PKR, DAP dan Amanah.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram