Syed Saggaf melunaskan impian menyaksikan Piala Dunia secara langsung di Qatar. GAMBAR: Syed Saggaf

OLEH: SYED SAGGAF (LIPUTAN DARI QATAR)

AKHIRNYA, impian untuk menyaksikan Piala Dunia secara langsung dari lokasi menjadi kenyataan. Sejak menyaksikan kehebatan Diego Maradona pada Piala Dunia Mexico 1986 dan Piala Dunia Itali 1990, ia menjadi satu impian yang kemudiannya menjadi cita-cita untuk menjejakkan kaki ke perlawanan piala dunia ini. Qatar 2020 telah merealisasikan impian ini.

Perasaan teruja ini terus ditambah apabila melihat keindahan Stadium Ahmad bin Ali, yang menjadi medan perjuangan antara pasukan Jepun dan Costa Rica.

Stadium ini mengambil nama Sheikh Ahmad bin Ali yang menjadi Emir Qatar dari tahun 1960 hingga 1972. Sewaktu pemerintahan beliau, Qatar mula menyaksikan permulaan perkembangan ekonomi yang dipacu oleh penemuan banyak telaga minyak.

Yang menariknya, pada Januari 1964, produksi dan operasi minyak pertama di lautan telah dijalankan di lapangan Idd al-Shargi.

Stadium ini yang pada asalnya dibina pada tahun 2003, dirobohkan pada 2015 untuk diberi nafas baharu bagi menghadapi Piala Dunia. Seni binanya melambangkan tradisi dan sejarah penduduk setempat dan lokasinya di pinggir padang pasir menambahkan relevannya Piala Dunia dianjurkan di Qatar.

Apa yang menariknya, walaupun matahari bersinar terik dengan suhu sekitar 30 darjah selsius untuk sepak mula pada jam 1 tengah hari waktu tempatan, namun teknologi canggih di dalam stadium dengan penghawa dingin beroperasi pada kuasa penuh dapat menyamankan keadaan dan memberikan keselesaan kepada penonton.

Kesemua pemain dan pegawai pasukan Jepun telah pergi ke setiap penjuru stadium yang menempatkan penyokong mereka untuk tunduk hormat dan meminta maaf atas kekalahan mereka. GAMBAR: Syed Saggaf

Apa yang kurang enak terhadap pengalaman pertama piala dunia ini adalah penyajian perlawanan yang kurang menarik oleh Jepun dan Costa Rica.

Baca artikel berkaitan: Di Sebalik Qatar 2022 – Islam Pemenang Jelas di Piala Dunia kali ini

Separuh pertama berakhir tanpa sebarang percubaan pada pintu gol. Malah, sepanjang perlawanan, hanya empat percubaan tepat ke pintu gol dihasilkan oleh kedua-dua pasukan dengan Costa Rica sangat efisen menghasilkan jaringan dengan satu-satunya percubaan mereka ke pintu gol Jepun.

Perlawanan semalam juga terlalu taktikal dengan kedua dua pasukan bermain secara berjaga-jaga untuk menyimpan bola dan mengelakkan kesilapan. Jepun patut lebih kecewa kerana mereka mempunyai kelebihan teknikal untuk membenam pasukan lawan tetapi tidak mampu menyaingi kekuatan fisikal Costa Rica.

Banyak yang telah diperkatakan tentang budi bahasa dan disiplin orang Jepun dan semalam, ini semua dapat dilihat di depan mata.

Setelah tamat perlawanan, kesemua pemain dan pegawai pasukan Jepun telah pergi ke setiap penjuru stadium yang menempatkan penyokong mereka untuk tunduk hormat dan meminta maaf atas kekalahan mereka.

Salah seorang penyokong Jepun melakukan tindakan terpuji mengutip sampah selepas tamat perlawanan. GAMBAR: Syed Saggaf

Penyokong mereka pula, setelah tamat perlawanan, dengan segera mengeluarkan plastik biru untuk mengutip sampah sarap ditinggalkan penonton.

Apa yang menariknya, tidak ada seorang pun penyokong Jepun ini melakukan sesuatu untuk menjadi glamor dan mengambil gambar untuk diletakkan di media sosial! Cuma, penyokong-penyokong lain yang teruja untuk merakamkan detik indah ini.

Jadi, pengalaman pertama menyaksikan perlawanan Piala Dunia adalah kenangan indah yang sangat bermakna dan akan dikenang sepanjang hayat.

Penulis ialah ketua pegawai eksekutif syarikat minyak dan gas yang meminati sukan bola sepak.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram