OLEH: SYED SAGGAF (LIPUTAN DARI QATAR)
PIALA Dunia Qatar kini telah memasuki fasa kalah mati. Ramai yang menganggap di sinilah pertandingan ini bermula dengan 16 pasukan akan bertarung untuk ditabalkan juara dunia pada 18 Disember nanti.
Semua drama di pusingan awal telah berjaya menjadikan Piala Dunia kali ini sukar diramal dengan banyak kejutan berlaku. Apa yang menariknya adalah menjelang perlawanan terakhir peringkat kumpulan, hanya tiga daripada 32 pasukan bertanding memastikan kelayakan ke peringkat seterusnya.
Namun, kebanyakan pasukan pilihan, seperti Argentina, Brazil, Portugal dan Perancis berjaya walaupun mencatatkan satu kekalahan daripada tiga perlawanan kumpulan.
Agak membanggakan juga apabila tiga daripada enam pasukan Konfiderasi Asia iaitu Jepun, Korea Selatan dan Australia berjaya melangkah ke pusingan seterusnya.
Benua Afrika juga boleh dibanggakan apabila Senegal dan Maghribi layak manakala Tunisia dan Cameroon mencatatkan kemenangan bermakna di perlawanan terakhir mereka menetang Perancis dan Brazil.
Argentina sudah semestinya menjadi salah satu pasukan kegemaran rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi bagi mereka yang membesar dengan menyaksikan kehebatan Diego Maradona pada tahun 80-an dan 90-an.
Argentina sendiri mempunyai budaya bola sepak yang tersendiri. bola sepak sudah menjadi seperti kehidupan mereka. Ketaksuban terhadap Maradona juga menyebabkan penubuhan Gereja Maradona oleh peminat bola sepak Argentina!

Baca artikel berkaitan: Di Sebalik Qatar 2022 – Serbia lawan Switzerland dengan latar belakang stadium unik

Pada perlawanan malam tadi, fokus sudah pastinya tertumpu kepada penyambung legasi Maradona iaitu Lionel Messi. Dan dia tidak mengecewakan.
Selain membuat jaringan, dia mencipta banyak peluang untuk rakan sepasukannya. Dia juga membuat percubaan-percubaan cantik.
Terdapat satu lariannya bersama bola yang dibuat dari tengah padang yang mengembalikan nostalgia jaringan Maradona ketika menjaringkan gol terbaik sepanjang abad ketika menentang England pada tahun 1986. Semua penonton bangun untuk menyaksikan kesudahan aksi ini namun tendangannya dihalang pertahanan Australia.
Apa yang hebatnya tentang cara Messi bermain adalah bagaimana semua rakan pasukan akan melihat kesediaannya untuk menerima bola.
Dia tidak mempunyai posisi tetap di atas padang dan akan bergerak ke seluruh bahagian serangan mengikut naluri hatinya. Hampir 70% perlawanan, anda akan lihat Messi berjalan di atas padang, menganalisa kekuatan dan kelemahan pertahanan lawan.
Akan tetapi, setelah dia menerima bola, dia akan tahu apa yang hendak dilakukan, sama ada berlari dengan bola, membuat hantaran atau pun mengawal kelajuan permainan. Jaringan malam tadi juga kerana kebijaksanaannya mencari ruang untuk meledakkan gol.
Ketika Argentina menjadi juara Piala Dunia 1986, Maradona telah mengepalai pasukannya, yang secara keseluruhannya mempunyai pemain yang baik akan tetapi bukan hebat. Dia merupakan pemain bintang yang menaikkan pasukannya dan kadang kala secara sendirian membawa pasukannya untuk menang.
Piala Dunia 2022 juga menyaksikan Argentina tampil dengan pasukan yang bagus tetapi tidak akan berstatus calon juara tanpa Messi. Setakat ini Messi memainkan peranan untuk membawa Argentina menghampiri matlamat menjadi juara dunia.
Melihat Messi secara langsung sangatlah mengujakan. Argentina dengan Messi adalah calon juara yang sah!
Vamos Argentina!
Penulis ialah ketua pegawai eksekutif syarikat minyak dan gas yang meminati sukan bola sepak.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

