Pemain Arab Saudi meraikan gol ketika menentang Argentina, hari ini

OLEH: SYED SAGGAF

KEBANYAKAN peminat di Malaysia, jika ditanyakan siapakah pasukan pilihan mereka di Piala Dunia, majoriti besar akan mengatakan Argentina.

Bagi mereka yang membesar dengan menyaksikan kehebatan Diego Maradona, terutamanya di Piala Dunia 1986 di Mexico, secara lazimnya, Argentina akan selalunya berada di hati peminat.

Tradisi kehebatan ini diteruskan dengan pemain lain selepas Maradona seperti Gabriel Batitusta, Pablo Aimar, Roman Riquelme dan Diego Simione.

Untuk Piala Dunia Qatar 2022, dengan pasukan yang ditunjangi oleh salah seorang pemain terhebat sepanjang zaman, Lionel Messi, sudah tentulah mereka menjadi salah satu pasukan pilihan.

Malah, barisan pemain Argentina pada tahun ini juga dikatakan antara yang paling mantap dan mempunyai kekuatan seimbang di setiap posisi dan berpotensi untuk pergi jauh di dalam edisi kali ini.

Arab Saudi pula tidak diberikan sebarang harapan untuk pergi jauh di dalam kumpulan ini yang juga ada Mexico dan Poland. Apatah lagi, walaupun sering melayakkan diri ke peringkat akhir piala dunia, Arab Saudi mempunyai rekod kurang memberangsangkan dengan mengalami 10 kekalahan di dalam 15 perlawanan sejak lima edisi terdahulu piala dunia bermula 1994. Malah, mereka hanya mampu mencatat tiga kemenangan sahaja.

Jadi, kekalahan Argentina di tangan Arab Saudi di dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C semalam sudah tentunya menjadi satu kejutan, bukan sahaja pada Piala Dunia tahun ini, tetapi mungkin sepanjang penganjuran Piala Dunia.

Baca artikel berkaitan: Di Sebalik Qatar 2022 – Qatar Kebanggaan Asia

Walaupun bermula garang dengan menjaringkan gol pertama di awal permainan, mereka kecundang dengan dua jaringan menarik Arab Saudi di separuh masa kedua. Apa yang menariknya adalah Arab Saudi hanya melakukan tiga percubaan di pintu gol Argentina sepanjang perlawanan dan dua daripadanya menghasilkan gol!

Namun, pujian harus kepada Arab Saudi yang sangat berdisiplin menterjemahkan segala perancangan taktikal yang telah disediakan oleh barisan kejurulatihan mereka yang diketuai oleh Herve Renard dari Perancis.

Apa yang paling ketara adalah taktik high line mereka dengan barisan pertahanan mereka berada di posisi yang sangat tinggi, kadang kala menghampiri garis tengah.

Ini menyebabkan pasukan Argentina sering terperangkap dengan offside dan ini berlaku sebanyak 10 kali sepanjang perlawanan semalam.

Untuk rekod, Argentina hanya mencatatkan enam offside sepanjang pertandingan di Piala Dunia Rusia 2018. Impak utama bila bermain seperti ini adalah ia mengecilkan ruang untuk penain tengah menguasai bola dan ini dapat dilihat dengan betapa sukarnya Messi untuk memegang bola.

Kali terakhir Piala Dunia diadakan di benua Asia, Korea Selatan telah menaikkan status pasukan Asia dengan melayakkan diri hingga ke peringkat separuh akhir.

Mereka mengalahkan banyak pasukan ternama termasuk Itali dan Portugal di dalam perjalanan mereka. Seperti Arab Saudi malam tadi, ini dilakukan dengan memberikan segalanya di atas padang dan bermain dengan semangat yang sangat tinggi.

Adakah kali ini benua Asia akan dibanggakan oleh kecemerlangan Arab Saudi? Ahlan wasahlan..

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram