PELAKON Julia Farhana Marin mendedahkan dia dan tunangnya, Dr Che Muhammad Hafiz bakal bernikah pada awal tahun hadapan.

Persiapan ke arah hari bahagia sudah hampir selesai, Julia mengakui mengenali Hafiz sejak dua tahun lalu.

Jelas Julia, bibit perkenalan mereka itu sebenarnya bermula daripada ibunya yang terlebih dahulu mengenali Hafiz.

ARTIKE BERKAITAN: Lufya Omar tak cemburu bekas suami nak kahwin lagi – “Untuk dia bergelar ibu tiri kepada Haura, tak mungkin…,”, Julia Farhana buat laporan polis, bengang jadi mangsa fitnah pelakon & buka kisah akan kahwin dengan Dr Che Hafiz,

“Kami berdua sangat menjaga privasi. Malah, kami pun tak pernah kongsi kehidupan kami kepada umum. Berita tentang kami dah bertunang pun orang lain yang kongsikan.

“Hubungan kami ini sebenarnya bermula daripada mak saya. Mak saya memang dah lama kenal dan suka dengan perwatakan Hafiz. Apa yang boleh saya katakan, hubungan kami ini adalah aturan daripada keluarga saya dan keluarga dia.

“Saya pula ketika itu tak terlintas nak ‘settle down’ sebab saya gembira dengan karier seni, nyanyian, lakonan dan pelajaran.

“Bila fikir semula, hubungan cinta saya sebelum ini semuanya tak menjadi. Sekarang lebih baik saya dengar cakap mak saya,” katanya kepada URTV.

Julia tak kisah status bakal suami

Julia berkata demikian ketika ditemui di majlis pembukaan Flagship Store Rizman Ruzaini di Four Seasons Place, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, sikap matang dan mudah dibawa berbincang, membuatkan Julia menyenangi Hafiz.

“Dia seorang lelaki yang baik, gentleman,softspoken, matang dan mudah untuk diajak berbincang.

“Mengenali selama dua tahun, saya rasa dia tidaklah seteruk mana untuk dijadikan calon suami.

“Sejujurnya, tak semua lelaki boleh faham kerjaya saya sebagai artis. Sering sibuk di lokasi penggambaran. Tetapi dia sangat memahami dengan jadual saya yang sangat padat.

“Saya pun masih baru dalam industri seni selain banyak komitmen lain. Namun, dia boleh terima kehidupan dan diri saya seadanya,” jelasnya.

Biarpun sudah sedia maklum status Hafiz sebagai bapa tunggal, namun cinta Julia terhadap lelaki itu tidak pernah padam.

Dr Che Hafiz bersama anak perempuannya, Laana Haura

Malah, dia enggan menjadikan kisah lalu bakal suaminya itu sebagai batu penghalang untuk mereka mendirikan ‘masjid’.

“Saya tak pernah fikir dan ada niat nak berkahwin dengan bapa tunggal. Tetapi bila dah jadi macam ini, saya hanya fikirkan karakter dirinya dan ketepikan kehidupan lampau dia.

“Awal perkenalan dulu saya ada terfikir, boleh ke saya terima dirinya yang datang dengan pakej (bapa tunggal dan mempunyai anak seorang)?

“Tapi saya dah fikir masak-masak, saya bersedia untuk terima semua orang dan tiada masalah dengan siapa pun.

“Andai kata saya tak terima, masa tempoh perkenalan dulu saya dah buang dia dalam hidup saya. Tapi bila dah masuk fasa akhir (bakal berkahwin), maksudnya saya serius dan dah lama terima dia dengan hati terbuka,” kongsinya dengan nada ceria.

Ditanya tentang hubungan dengan bakal anak tirinya, Laana Haura, Julia bagaimanapun belum berkesempatan untuk mengenali lebih dekat kanak-kanak itu.

“Untuk mengenali lebih dekat dengan Haura masih belum lagi sebab saya hormat pada ibu kandungnya (pelakon Lufya Omar).

“Insya-Allah, kalau dibenarkan saya akan berjumpa. Kalau tidak pun, saya terpaksa akur.

“Selama ini saya hanya tengok dari jauh sahaja sebab saya tahu saya belum berkahwin lagi.

“Haura ada ibu kandung, saya mesti minta kebenaran daripada penjagannya dulu kalau nak berkenalan atau nak ajak bermain bersama,” katanya.

Untuk rekod, Che Hafiz sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Lufya pada 29 November 2016 sebelum sah bercerai pada 17 Jun 2020.

Hasil perkahwinan itu, mereka memiliki seorang anak perempuan, Laana Haura yang berusia lima tahun.