“PEMILIHAN wakil UMNO dalam kerajaan wajar mengikut keutamaan hierarki partinya dan dengan reda kepimpinannya.”
Itu kata Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berhubung proses pembentukan Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang perlu melihat kepada hierarki UMNO.
Annuar sebelum ini agak lantang mengkritik kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan penyertaan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan dipimpin Anwar.
Bagaimanapun, nada Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO menerusi hantaran di Facebook tampak sedikit berubah dengan mengatakan UMNO tidak seharusnya dipandang enteng dalam pembentukan Kabinet.
Menurut Annuar, UMNO melalui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah membuat keputusan tuntas menyertai Kerajaan Perpaduan ini.
Kata beliau, ia merupakan keputusan parti yang wajar dihormati bukan sahaja oleh ahli tetapi juga oleh Anwar yang mengetuai Kerajaan Perpaduan.
Annuar berkata, UMNO juga tidak harus diterima separuh separuh ‘umpama semangkuk gulai, jangan kuah diambil tapi isi nak dibuang’.
“Debaran banyak pihak adalah tertumpu kepada pembentukan Kabinet Perdana Menteri Ke-10.
“Dilaporkan juga kononnya Anwar menghadapi dilema kerana lobi daripada banyak pihak. Itu sudah kelaziman dan saya percaya Anwar tahu cara menyelesaikannya.
“Kabinet mesti berupa gabungan yang mampu menggalas tugas mencabar selepas ini.
“Yang penting Perdana Menteri perlu mempunyai pasukan bekerja yang mantap dan berwibawa. Rakyat menanti sesuatu yang baik untuk semua. Sudah lama rakyat menanti,” katanya dalam hantaran tersebut.
Baca artikel berkaitan: Anwar umum Kabinet esok libat 25 Jemaah Menteri?
Teka-teki berhubung pembentukan Kabinet masih belum terjawab walaupun berlegar dalam media sosial kononnya Perdana Menteri akan mengumumkan barisan Jemaah Menteri hari ini.
Semalam, media melaporkan pembentukan barisan Kabinet Anwar dijangka diumumkan selewat-lewatnya esok bagi membolehkan Jemaah Menteri baharu mengangkat sumpah sebelum hujung minggu.
Situasi itu disebabkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka ke luar negara, Sabtu ini.
Desas-desus pengumuman barisan Jemaah Menteri dalam masa terdekat bertiup kencang selepas Anwar menghadap Al-Sultan Abdullah, kelmarin.
Laporan Free Malaysia Today (FMT) pula memaklumkan bahawa dua Timbalan Perdana Menteri akan dilantik dalam senarai 25 ahli Jemaah Menteri diterajui Anwar.
Laporan memetik sumber itu berkata, Timbalan Perdana Menteri itu adalah daripada Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Pada masa sama, PKR, UMNO, DAP dan GPS mungkin diberi jawatan menteri paling banyak.
Selain itu, Warisan, Amanah dan UPKO juga akan menganggotai Jemaah Menteri dipimpin Anwar.
Namun begitu, Straits Times Singapura melaporkan, Anwar dijangka menangguhkan pengumuman barisan Kabinet sehingga minggu hadapan bagi memenuhi tuntutan daripada parti-parti dalam kerajaan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

