OLEH: SYED SAGGAF (LIPUTAN DARI QATAR)
Perlawanan terakhir peringkat kumpulan menyaksikan pertembungan Serbia dan Switzerland yang masing-masing masih mempunyai peluang untuk mengiringi Brazil ke pusingan seterusnya.
Namun, apa yang benar-benar menarik sebelum perhatian diberikan terhadap perlawanan andalah keunikan lokasi perlawanan iaitu Stadium 974.
Stadium ini terletak berhampiran dengan laut dan merupakan stadium yang dipasang sementara hanya untuk Piala Dunia kali ini. Ini juga yang pertama kali dalam sejarah Piala Dunia yang stadium sementara menjadi tuan rumah perlawanan.
Ia mempunyai konsep modular menggunakan 974 buah kontena lama yang digunapakai sebagai memperingati latar belakang kawasan ini sebagai kawasan perindustrian.
Secara kebetulan, kod panggilan negara Qatar juga adalah 974. Setelah selesai Piala Dunia, stadium ini akan dibuka dan dipasang di kawasan lain.
Aksi Serbia dan Switzerland juga tidak mengecewakan dan penonton disajikan dengan lima gol dengan keputusan malam tadi memihak kepada Switzerland. Mereka berjaya mengiringi Brazil ke peringkat seterusnya.
Antara perlawanan yang paling menarik pada pusingan awal ini, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan 25 percubaan ke arah gol+. Namun, tidak dapat dinafikan Switzerland banyak bergantung kepada tiga pemain utama mereka untuk membawa pasukan ini ke hadapan.
Kelincahana Xerdan Shaqiri di bahagian sayap banyak mengucar-kacirkan pertahanan Serbia di samping kehebatan penyerang mereka Breel Embola memegang bola dan membawa rakan sepasukannya ke bahagian serangan. Akan tetapi, pemain terbaik perlawanan malam tadi adalah ketua pasukannya, Granit Xhaka yang berjaya mengawal bahagian tengah dengan efektif.
Malam tadi milik Switzerland. Akan tetapi, apa-apa pun, perlawanan yang berlatarbelakangkan stadium secanggih ini akan menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan.

