Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan dan setia sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur, 24 November lalu. GAMBAR IHSAN: Jabatan Penerangan

KABINET sudah dibentuk. Ahli parlimen atau senator yang terpilih menjadi menteri telah mengangkat sumpah jawatan dan simpan rahsia di hadapan Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Sabtu 3 Disember lalu.

Kini bermula era kerajaan baharu pasca Pilihan Raya Umum (PRU)-15 di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku perdana menteri ke-10. Syabas dan tahniah kepada barisan kabinet dengan harapan mereka akan bekerja kuat memakmurkan negara dan mensejahterakan rakyat.

Realisasikan apa yang dicatat dalam manifesto serta yang lantang disuarakan ketika berkempen. Janji bahawa rakyat diutamakan jangan sekali-kali hanya menjadi permainan menarik undi tetapi mesti ditunaikan setelah rakyat memberi kemenangan.

Janji untuk menyuburkan kembali ekonomi mesti dipatuhi. Ekonomi negara telah melalui zaman suram khususnya ketika pandemik Covid-19 melanda, sehingga menyebabkan banyak sektor ekonomi gulung tikar. Akibatnya ramai dibuang kerja dan hilang sumber pendapatan. Kehidupan menjadi sukar bagi yang terlibat.

Kerana itu sangat penting ekonomi kembali kukuh agar lebih banyak peluang pekerjaan terbuka bukan sahaja kepada yang terjejas akibat Covid-19 tetapi juga tenaga kerja baharu yang memasuki pasaran. Graduan tidak harus dibiarkan terlalu lama menganggur selepas tamat pengajian diploma atau ijazah.

Juga jangan lupa janji memastikan rakyat hidup selesa dan terlepas daripada cengkaman kenaikan kos sara hidup akibat kenaikan harga barang keperluan harian. Pastikan bekalan bahan makanan tidak terputus seperti yang berlaku kepada bekalan telur baru-baru ini.

Semua gejala ini menyusahkan rakyat. Kerana itu laksanakan apa yang telah dijanji. Terjemahkan manifesto dan sorak sorai kempen kepada realiti. Rakyat akan memerhatikan samaada pemimpin politik serius atau sekadar bercakap manis di bibir.

Harapan tinggi diletakkan di atas bahu kerajaan baharu. Barisan kabinet mempunyai tanggung jawab berat dan mesti komited memenuhi aspirasi membantu serta memastikan rakyat tidak tercicir dalam mengharungi arus pembangunan negara, tanpa mengira kaum. Nasib semua perlu dibela.

Baca artikel berkaitan: Perkasa sistem pengangkutan awam di ibu negara

Justeru, jangan mudah terpesong apabila menerima kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk komponen parti politik yang memerintah, yang mungkin tidak berpuas hati dengan komposisi jawatan kabinet. Oleh kerana Kerajaan Perpaduan kini disokong oleh pelbagai parti, rasa tidak puas hati tetap ada.

Perasaan ini tidak mudah dikikis. Jika sesuatu parti tertentu muncul dominan dan membentuk kerajaan bersendirian pun sukar memilih anggota kabinet, bayangkan jika melibatkan pelbagai parti. Masing-masing mahu jawatan lebih dalam kabinet.

Terimalah hakikat kerusi kabinet terhad. Bukan semua berpeluang menjadi menteri. Ini ditambah dengan langkah kerajaan baharu mengecilkan kabinet. Jumlahnya kini hanya 25 berbanding 33 orang sebelum ini.

Biasalah rumah siap pahat berbunyi. Namun fokus kini seharusnya memberi peluang kepada Anwar dan barisan kabinet mentadbir negara untuk tempuh lima tahun akan datang. Lihat sahaja gaya pentadbiran dan pendekatan baharu yang hendak diterapkan dalam memacu negara ke arah kecemerlangan.

Sembang politik tidak akan berhenti, tetap rancak dibualkan di sana sini. Daripada spekulasi pilihan raya, calon pilihan raya, jangkaan keputusan pilihan raya, semua dibual dan didebat. Kini setelah pembentukan kerajaan, isu tersebut pula menjadi topik perbincangan.

Sewajarnya setelah kerajaan pasca PRU-15 dibentuk, cakap-cakap politik, kata mengata, atau luahan rasa tidak puas hati perlu dikurangkan. Para pemimpin politik, penyokong dan rakyat keseluruhannya harus sama-sama memandang ke hadapan memastikan agenda negara sejahtera rakyat makmur dicapai.

Namun teras utama ialah para pemimpin politik jangan lupa janji ditabur. Rakyat tidak mahu janji hanya berkumandang ketika cuba menarik undi rakyat sahaja, selepas itu hilang bersama angin lalu. Perbuatan ini seumpama menipu rakyat yang telah memberi kepercayaan.

Parti yang menjadi pembangkang juga perlu memainkan peranan memberi teguran membina. Laksanakan fungsi semak dan imbang atau check and balance dengan positif dan berkesan. Yang baik sama-sama dijunjung, yang perlu ditegur atau diperbaiki berilah pandangan secara bernas.

Pihak kerajaan pula hendaklah mendengar teguran pembangkang dengan terbuka serta bermusyawarah untuk kebaikan bersama. Selagi semangat ukhwah ini sentiasa terjalin, matlamat mencapai negara Malaysia lebih maju dan gemilang akan tercapai.
Semua pihak mestilah besar hati berkorban serta bekerjasama mencari persamaan dalam perbezaan.

Kita semua mahu kehebatan yang pernah dicapai negara sebagai Harimau Asia sebelum ini berulang. Kita ingin nama harum yang pernah dicipta Malaysia di arena antarabangsa kembali menyinar. Kita semua merindui detik ini. Malaysia mesti kembali gemilang dan terbilang.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram