PELAKON Datuk Aaron Aziz teruk dikecam netizen kerana tindakannya yang meletakkan dan membiarkan seekor ular sawa batik di atas sangkar kucing.
Dakwa netizen, tindakan Aaron itu boleh mendatangkan trauma dan perasaan takut kepada kucing yang berada dalam sangkar tersebut.
Menurut Aaron, dia boleh menerima kecaman tentang kesilapnnya yang membelai ular berdekatan dengan kucing. Namun, tegasnya, kejadian tersebut berlaku ketika sesi penggambaran.
“Yang pertama, saya nak tujukan mesej ni kepada Animal Malaysia, ya saya buat ‘live’ dan silap saya kerana buat ‘live’.
“Itu pertama kali saya berlakon dengan ular dan mungkin saya ghairah (takut),” ujarnya.
Pelakon yang berasal dari Singapura itu meyakinkan netizen bahawa ada seorang pakar haiwan yang mengawal keadaan semasa sesi penggambaran dilakukan.
Tambahnya, Aaron sentiasa bertanyakan keadaan kucing yang berada dalam sangkar itu kepada pakar haiwan kerana risau jika apa-apa perkara buruk berlaku.
“Apa yang anda (penonton) tak nampak dan tak tertunjuk di dalam video adalah bila saya bertanya berkali-kali pada pemilik ular yang ada lesen tersebut mengenai keadaan kucing, ‘kucing macam mana?’, ‘kucing takut ke tak?’, ‘akan ganggu kucing ke tidak?’ Dia jawab tak. ular tu hanya makan arnab.
“Saya kat situ pun, mata saya sentiasa melihat kucing, saya sentiasa tengok gerak-geri kucing. Dan sebelum kita buat babak tu pun, saya, pengarah dan kru semua dah periksa kalau kucing ada simptom stress, kami tak akan buat babak itu.
“Itu juga bukan ular milik saya dan ketika kejadian, ada kira-kira 11 orang yang jaga dan awasi pergerakan kucing dan juga ular,” jelasnya.
Pelakon filem Ombak Rindu itu turut memaklumkan dia ada membela sembilan ekor kucing di rumah dan akui seorang pencinta haiwan tersebut.
Tambahnya, dia juga tidak sanggup berlaku kejam terhadap haiwan kesayangannya.
“Tapi ini yang saya ingin katakan, saya ada sembilan ekor kucing dan saya pencinta kucing. Tak mungkin saya akan zalimi kucing dan tak mungkin kami yang ada lebih daripada 20 orang di tempat kejadian sanggup untuk menzalimi kucing,” katanya.
Terbaru, menerusi hantaran Instagram milik Aaron, dia tidak berpuas hati apabila hanya dirinya seorang dipersalahkan sedangkan ada ramai saksi di tempat kejadian.
“Kenapa tuduh saya yang letak ular kat situ eh? Pemilik ular tu yang diarahkan untuk letak, bukan saya. Saya hanya berdiri dekat situ dan berdialog. Pemilik kucing-kucing itu semua pun tak cakap apa-apa. Jadi kenapa saya sahaja dimaki dan dicaci?” soalnya.
Kapsyen hantaran tersebut menunjukkan Aaron berasa hairan tiada siapa yang mahu membela dirinya.
“Tiada kapsyen. Tiada siapa-siapa yang masa ‘shooting’ tu nak ‘back up’ saya ke?” tulisnya.

Terdahulu, kecoh di media sosial mengenai beberapa tangkap layar memaparkan Aaron yang membelai seekor ular di hadapan beberapa ekor kucing di dalam sangkar.
Perkara itu turut mendapat perhatian Persatuan Haiwan Malaysia, Animal Malaysia yang mengecam tindakan pelakon itu.

