SETELAH mengumumkan mengenai status hubungannya dengan Fuad Rahman, nama penyanyi Tom terus ‘panas’ dan terbaharu dia dituduh sebagai ‘penyondol’ hingga rumah tangga kekasihnya itu musnah.
Ketika diminta mengulas mengenai kontroversi terbabit, Tom menyangkal fitnah yang tersebar di dalam sebuah forum hiburan.
Ujar Tom atau Raja Farah Afzal Raja Ikram, 36, biarpun dia sudah lama mengenali Fuad, namun mereka baharu sahaja kembali bercinta.
“Tak tahulah nak cakap apa. Saya kenal dia sebelum sertai Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9). Baru sekarang ini kami kembali bercinta.
“Hubungan dia dan bekas isteri dah berakhir, cuma ada beberapa urusan belum selesai.
“Bekas isterinya pun tahu hubungan kami dan saya bukan penyondol,” katanya ketika dihubungi URTV sebentar tadi.

Kontroversi mula timbul apabila ada individu meninggalkan komen dalam sebuah forum hiburan yang mendakwa Fuad masih berstatus suami orang.
Malah, individu terbabit turut meminta bukti fail perceraian Fuad dengan bekas isteri di mahkamah.
Jelas Tom, selepas mengetahui hubungan Fuad bermasalah dengan bekas isteri, dia terbuka untuk kembali bercinta dengan lelaki itu.
“Sejak jumpa di GV9, hubungan dia dengan isteri memang dah bermasalah. Saya kesian melihat dia melalui waktu sukar.
“Saya sendiri baca bukti perbualan antara Fuad dan bekas isterinya.
“Saya terima untuk kembali bercinta kerana ikhlas mahu menjaga dia. Dia perlukan seorang teman ketik waktu sukar ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Tom tidak kisah sekiranya terus dipersalahkan dan dituduh menjadi punca keretakan rumah tangga Fuad.
Katanya, semua pihak berhak untuk berkata apa sahaja tentang hubungan mereka.
“Orang boleh cakap apa sahaja kerana mereka tak tahu apa-apa. Kami yang melalui hubungan ini.
“Biarlah apa orang nak cakap tentang saya. Saya tak ambil peduli dan saya tak boleh nak tutup mulut orang.
“Sebab yang lebih tahu adalah keluarga dia. Malah, bekas isteri dia pun tahu saya bukanlah punca mereka bercerai,” tegasnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

