DUA mayat iaitu mangsa ke-22 serta ke-23 yang ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tengah hari tadi dalam insiden tanah runtuh tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dipercayai pasangan ibu dan anak.
Situasi tersebut mengambil kira kedudukan kedua-dua mangsa yang berada berhampiran antara satu sama lain.
Mayat kedua-dua mangsa itu kemudiannya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, kedua-dua mayat itu adalah seorang wanita dalam lingkungan usia 30-an manakala kanak-kanak anggaran usia dua hingga tiga tahun.
Menurut Norazam, kedua-dua mayat berkenaan ditemui dalam keadaan sempurna berdekatan kolam air di lereng bahagian bawah tapak perkhemahan Hillview.
“Semasa kita menjumpai (mayat), kedudukan mangsa berada berhampiran dan kita syaki mereka adalah pasangan ibu dan anak.
“Kedua-dua mangsa ditemukan di lereng bawah Hillview atau Sektor A berhampiran kolam air.
Baca artikel berkaitan: Tanah runtuh Batang Kali: Dua lagi mayat ditemukan, 10 belum dijumpai
“Semasa pencarian dilakukan kedudukan mangsa berada sedalam tiga kaki di kawasan paling hujung,” katanya dalam sidang media hari ini.
Terdahulu, UtusanTV melaporkan dua lagi mayat mangsa tanah runtuh tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali telah ditemukan pada pukul 1.02 tengah hari tadi.
Situasi itu menjadikan jumlah mangsa yang terkorban akibat insiden tanah runtuh itu meningkat kepada 23 orang.
Pada masa sama, 10 lagi mangsa belum dijumpai dalam timbunan tanah runtuh tersebut.
Mengulas lanjut, Norazam berkata, tumpuan pasukan SAR pada ketika ini terarah kepada kawasan tapak perkhemahan Sektor A atau Hillview dan di sebelah hadapan tapak berkenaan.
Kata beliau, ia berdasarkan penemuan jumlah mangsa yang ramai di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, Norazam berkata, kerja-kerja mencari dan menyelamat masih diteruskan di Sektor C atau Riverside mengambil kira penemuan mangsa terakhir petang semalam.
“Kita telah menerima satu lagi jengkaut untuk melakukan kerja-kerja di kawasan Hillview manakala penggalian di Sektor B dan C masih diteruskan.
“Penggalian yang dilakukan adalah sehingga kepada tanah dasar, bermaksud kita tak lakukan pengorekan ke dalam tanah asal,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

