JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia memberi bantuan kaunseling kepada mangsa terselamat dan ahli keluarga mangsa yang maut dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali, Selangor, baru-baru ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata JKM akan memantau dari semasa ke semasa keadaan emosi mangsa dan ahli keluarga yang sudah pastinya terjejas serta trauma akibat tragedi menyayat hati itu.
“Ada keluarga yang memohon untuk bantuan kaunseling dan sudah semestinya mereka memerlukan perkhidmatan berkenaan pada waktu sebegini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung Baru hari ini, yang menempatkan 80 mangsa banjir daripada 24 keluarga.
Nancy mengakui ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia masih memerlukan masa dan ruang untuk menerima hakikat kehilangan insan kesayangan mereka dalam tragedi itu, sebelum bersetuju untuk mendapatkan khidmat kaunseling JKM.
Sebelum ini, JKM dalam kenyataannya memaklumkan pegawai psikologi ditempatkan di Balai Polis Hulu Yam Bharu, Selangor bagi intervensi krisis serta sokongan psikologi kepada mangsa dan keluarga mereka yang trauma berikutan tragedi tersebut.
Tragedi pada awal pagi 16 Disember lepas itu, membabitkan 92 mangsa dengan 61 daripadanya terselamat, manakala 31 terkorban iaitu 18 individu dewasa dan 13 kanak-kanak selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan mangsa.
Mengenai situasi banjir, Nancy berkata bantuan JKM seperti makanan kering dan kaunseling di kesemua PPS yang beroperasi di seluruh negara berjalan lancar setakat ini.
Menurutnya persiapan bantuan telah bermula sejak Oktober lepas memandangkan bencana banjir sudah diramal akan berlaku.
“Kita sudah jangka (banjir) akan berlaku bukan sahaja di Sarawak tapi di seluruh negara. Persiapan dilakukan awal kerana kita takut kalau (hulur bantuan apabila sudah) berlaku banjir, kita tidak dapat memberi bantuan dalam masa yang singkat,” katanya.
Beliau turut melawat PPS Dewan Suarah Kota Samarahan dan Dewan Kampung Lubok Buntin yang masing-masing menempatkan 77 dan 38 mangsa.
Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak setakat 11 pagi ini, sejumlah 15 PPS beroperasi di negeri itu yang menempatkan seramai 1,288 mangsa banjir daripada 350 keluarga.
— BERNAMA

