TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa, tidak yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu memimpin Malaysia berdepan krisis kemelesetan ekonomi dan cabaran pemulihan pasca pandemik.
Beliau berkata, ini jika dilihat kepada fokus Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang tertumpu kepada usaha mengekalkan jumlah sokongan di Dewan Rakyat.
Selain itu, dakwanya, berdasarkan prestasi ketika berada di dalam kerajaan lebih 20 tahun lalu, Anwar tidak dapat menangani masalah ketika menjadi pemangku Perdana Menteri pada tahun 1997.
Anwar juga didakwa gagal mencari jalan kepada krisis kewangan dan lebih rela mengikut pendapat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta Bank Dunia, yang berisiko menyebabkan Malaysia muflis.
“Pada masa saya jadi Perdana Menteri kali pertama, saya pergi cuti selama dua bulan. Semasa saya cuti, Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, diberi tanggungjawab sebagai pemangku Perdana Menteri, tetapi nampak dia tak dapat menangani masalah.
“Selepas itu pula, berlaku krisis kewangan yang mana ringgit Malaysia turun nilainya. Pada masa itu, Anwar juga menjadi Menteri Kewangan.
“Cara dia menangani masalah kejatuhan nilai ringgit itu dengan mengikuti pendapat IMF dan Bank Dunia. Saya berpendapat, kalau kita ikut IMF dan Bank Dunia, kita akan jadi muflis dan kita tak dapat laksanakan dasar ekonomi negara kita.
“Tetapi Anwar tak ada cadangan yang lain selain daripada mengikuti IMF dan Bank Dunia, sebab itu saya terpaksa ambil alih tugas Kementerian Kewangan, saya cari jalan untuk selamatkan negara,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Baca artikel lain: Air pasang: Lebih 100 rumah atas air roboh di Kampung Forest
Beliau berkata demikian ketika ditanya pandangannya sama ada Anwar memiliki keupayaan untuk menakhodai Malaysia berdepan cabaran kemelesetan ekonomi yang diramal melanda dunia tahun depan.
Dr Mahathir berkata, jika dibenarkan Anwar berkuasa dan melaksanakan dasarnya, beliau yakin negara tidak akan dapat mengatasi masalah krisis kewangan ketika krisis berkenaan.
Beliau mengakui khuatir dengan kebolehan Anwar kerana berdasarkan pengalaman lampau, Presiden PKR itu gagal merangka penyelesaian ketika berdepan krisis kewangan 1997/1998, apatah lagi kini berdepan lebih banyak masalah rumit.
“Ketika itu, nampak dia tidak dapat cipta satu cara untuk mengatasi krisis. Sama ada di masa hadapan, dia boleh cipta cara menangani masalah negara, belum kita dapat tentukan.
“Tetapi berdasarkan pengalaman semasa dia jadi TPM (dan) menunjuk kebolehannya, saya khuatir. Sekarang ini negara menghadapi banyak masalah seperti kesan pandemik, ekonomi merosot teruk, keadaan politik tidak stabil.
“Rakyat masih tidak senang dengan keadaan negara. Banyak masalah yang perlu ditangani oleh kerajaan Anwar,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

