Majalah 3 papar tayangan eksklusif dokumentari khas tragedi tanah runtuh Batang Kali malam ini

Dari Penulis

SIRI dokumentari popular Majalah 3 bakal memaparkan tayangan khas tragedi cerun runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali yang melibatkan 92 mangsa.

Penerbit Kanan Majalah 3 dan juga merangkap wartawan lokasi, Christine Lee dan jurukamera, Mohd Zahril Abdullah telah turun padang untuk mendapatkan berita terkini berkaitan kejadian terbabit.

Mereka telah menjalankan tugasan mencabar apabila bergegas ke tiga lokasi penting iaitu di Batang Kali, Hospital Selayang dan Hospital Sungai Buloh semata-mata untuk mendapatkan informasi terkini dan sahih buat penonton setia Majalah 3.

Tragedi ini memberi tamparan yang besar terhadap negara kita apatah lagi terhadap keluarga mangsa.

Dokumentari khas ini turut memaparkan sesi temuduga bersama keluarga mangsa dan Majalah 3 merakamkan ucapan takziah buat keluarga mangsa insiden cerun runtuh di Batang Kali.

Kejadian menyayat hati ini telah mendapat liputan meluas seluruh negara dan melibatkan unit Misi Mencari dan Menyelamat (SAR – Search and Rescue) yang turut melibatkan khidmat anjing daripada Unit Pengesan (K9) bagi membantu mempermudahkan operasi supaya berjalan dengan lebih lancar dan pantas.

Ketibaan mereka yang dilihat sebagai ‘hero’ menjadi tumpuan ramai kerana mereka adalah tunjang utama dalam misi ini!

Ini merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupai oleh Christine tambahan kawasan itu merupakan lokasi kejadian cerun runtuh yang melibatkan nyawa.

Christine Lee sanggup mengambil risiko demi mendapatkan laporan eksklusif buat penonton Majalah 3

“Kami hanya dibenarkan untuk memasuki kawasan tragedi selepas hari keempat dan itu pun seorang sahaja dibenarkan masuk ke kawasan tersebut atas faktor keselamatan.

“Ini merupakan pengalaman baharu bagi saya apabila perlu merentasi selut hingga ke paras lutut. Walaupun bimbang dengan risiko yang ada, fikiran saya hanya fokus untuk mendapatkan laporan eksklusif dan yang terbaik untuk dikongsikan kepada penonton.


“Selesai misi kami, pasukan penyelamat menguruskan jengkaut untuk membawa keluar rakan-rakan media kerana lebih mudah.

“Lokasi kejadian terbahagi kepada tiga dan rakaman hanya dibenarkan di sektor B. Dalam situasi getir ini, saya berasa sangat bersyukur kerana berjaya merakam kerja-kerja ‘Ground Penetrating Radar’ untuk mengesan mangsa-mangsa yang tertimbus.

“Terima kasih tidak terhingga kepada pihak berkuasa kerana banyak membantu kami dalam misi membuat laporan yang berkualiti. Dugaan mendapatkan kandungan ini adalah pengalaman paling berharga buat saya dan jurukamera.

“Walaupun pelbagai halangan dan cabaran dilalui, pasukan penyelamat tetap bertungkus-lumus menjalankan tanggungjawab mereka tanpa mengira siang atau malam,” katanya.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Majalah 3, Dokumentari Khas: Tragedi Di Batang Kali, hari ini,pukul 9.00 malam dan penonton juga boleh strim secara langsung dalam HD di www.tonton.com.my.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Selepas 7 tahun menyepi, Jason Mraz pilih Malaysia untuk konsert mega Oktober depan! Tiket mula dijual 11 Jun ini

SELEPAS tujuh tahun menanti, peminat muzik tempatan bakal kembali disatukan dengan pelantun lagu hit global I’m Yours, Jason Mraz,...

More Articles Like This