KEHADIRAN cahaya mata dalam keluarga bukan sahaja menceriakan tetapi ia juga menjadi penguat ikatan perkahwinan buat pasangan suami dan isteri.
Setiap pasangan yang berkahwin pastinya menginginkan zuriat sebagai pewaris keturunan keluarga.
Tahun ini juga menyaksikan ramai selebriti tanah air yang diberikan rezeki serta amanah paling besar yang perlu dipikul untuk membesarkan permata hati mereka.
Oleh itu, berikut URTV senaraikan barisan artis tempatan yang menimang cahaya mata sulung pada 2022.
Neelofa & PU Riz

PASANGAN popular Neelofa dan PU Riz bergelar ibu bapa kepada Muhammad Bilal yang dilahirkan pada 29 Januari lalu.
Bayi lelaki itu dilahirkan pada pukul 3.44 petang di pusat perubatan swasta Kuala Lumpur.
Ernie Zakri & Syamel

PASANGAN penyanyi Ernie Zakri dan Syamel kini bergelar ibu bapa kepada bayi perempuan yang dilahirkan pada 22 Februari pukul 10.14 pagi di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.
Bayi comel mereka diberi nama Nur Khawla Soleha.
Elisya Sandha & Uzair Haqimy

AKTRES Elisya Sandha selamat melahirkan cahaya mata sulung pada 18 Jun di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Elisya yang juga menantu kepada pengarah, pelakon dan penerbit, Sheila Rusly itu memilih nama Bunga Elhaq buat anak perempuannya.
Mira Filzah & Wan Emir Astar

PELAKON Mira Filzah bergelar ibu kepada bayi lelaki yang dilahirkannya pada 10 Mei lalu. Mira dan suaminya, Wan Emir Astar sepakat memilih nama Wan Khair Amir buat permata hati mereka.
Azzam Sham & Sheryl Shazwanie

PASANGAN penyanyi Azzam Sham dan Sheryl Shazwanie menimang cahaya mata perempuan pada 27 November lalu.
Bayi perempuan seberat 2.89 kilogram itu dilahirkan secara pembedahan di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya pada pukul 9.45 malam dan diberi nama Azzalea Safiyya.
Ariff Bahran & Amirah Syazwani

ISTERI penyanyi Ariff Bahrani aitu Amirah Syazwani Mohd Ridzuan selamat melahirkan anak lelaki pertama mereka di pusat perubatan di Shah Alam pada 24 Julai.
Bayi lelaki seberat 2.5 kilogram itu diberi nama Muhammad Luth Mikhael.
Uyaina Arshad & Raja Syahiran

PASANGAN selebriti Uyaina Arshad dan Raja Syahiran dikurniakan cahaya mata lelaki yang dilahirkan pada 8 September.
Mereka sepakat memilih nama Raja Urhan Raja Syahiran buat permata hati kesayangannya itu.
Ayie Floor88 & Tasha Awie

VOKALIS kumpulan Floor88, Ayie Elham berkongsi berita gembira apabila isterinya Tasha Awie selamat melahirkan bayi perempuan pada 22 Julai.
Bayi comel yang dilahirkan secara normal itu diberi nama Nayla Amanda.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

