PENGANJUR Jelajah Dunia Jay Chou sudah menempah dahulu Stadium Nasional Bukit Jalil sejak 2019 bagi mengadakan konsertnya pada 15 Januari ini dan kru memerlukan 14 hari untuk melakukan pemasangan pentas.
Tempahan itu sudah tentu lebih lama dilakukan sebelum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berbuat demikian pada 18 Ogos lalu selepas layak memasuki pertandingan separuh akhir Piala AFF 2022 menentang Thailand, Sabtu ini.
Perkara itu dijelaskan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerusi akaun Twitter miliknya, hari ini.
“Booking (tempahan) stadium konsert Jay Chou World Tour dibuat 13 Mac 2019 manakala AFF 2022 oleh FAM dibuat 18 Ogos 2022.
“Konsert perlu 14 hari pasang pentas oleh 500 krew+185 krew antarabangsa, 45 jentera berat, 200 speaker & 800 lampu. Mereka dah delay (lewat) 2.5 hari bagi ruang AFF,” katanya.
Terdahulu, susulan persediaan konsert Jay Chou sehingga menyebabkan 21,000 tempat duduk Stadium Nasional Bukit Jalil terpaksa dikosongkan, akaun Facebook bintang dari Taiwan itu `diserang’ penyokong skuad Harimau Malaya.
BERITA BERKAITAN Tiket Malaysia-Thailand kurang kerana konsert Jay Chou: Peminat berang, Hannah cari penyelesaian
Rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati selepas selebriti yang bakal melangsungkan konsertnya pada 15 Januari itu menyebabkan mereka gagal mendapatkan tiket perlawanan separuh akhir Piala AFF 2022 berdepan Thailand, Sabtu ini.
Selain meluahkan rasa tidak puas hati, mereka juga menuntut Jay Chou supaya menangguhkan konsert terbabit bagi memberi laluan untuk ‘pemain ke-12’ memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya.
Dalam perlawanan terakhir melawan Singapura, Malaysia, walaupun hanya dihadiri 65,000 penonton kerana masalah tersebut, skuad kebangsaan menunjukkan prestasi membanggakan dengan bangkit daripada kekalahan kontroversi dengan Vietnam dengan membelasah lawan 4-1.
Malaysia akan bertemu Thailand di Stadium Bukit Jalil Kuala Lumpur pada 7 Januari ini yang merupakan perlawanan penting untuk membolehkan skuad negara membawa bekal sekurang-kurangnya tiga mata kemenangan sebelum bertandang ke Thailand untuk perlawanan kedua.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram