BERKUAT kuasa 6 Mac lalu, Stadium Nasional dan Stadium Putra masing-masing dikenali sebagai TM Stadium Nasional dan Unifi Arena.
Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memaklumkan, ia susulan daripada kerjasama hak penamaan bersama Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi menjenamakan semua kedua-dua buah stadium berkenaan.
Jelasnya, kerjasama ini adalah untuk tempoh tiga tahun dan merupakan langkah penting dalam memastikan ia kekal relevan, selesa dan berdaya saing sebagai lokasi penganjuran acara sukan serta hiburan bertaraf antarabangsa.
“Sebagai venue sukan dan hiburan terbesar negara, Stadium Nasional dan Stadium Putra bukan sekadar tempat berlangsungnya acara.
“Kedua-dua stadium ini merupakan lokasi di mana detik bersejarah tercipta, semangat kebangsaan diperkukuh dan jutaan rakyat Malaysia berkumpul sebagai satu bangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil berkata, hasil daripada kerjasama ini akan disalurkan kepada usaha menaik taraf serta menambah baik kemudahan stadium bagi memberikan pengalaman lebih baik kepada pengunjung.
“Sebagai pengurus Stadium Nasional dan Stadium Putra, kami komited memastikan kemudahan ini sentiasa berada pada tahap terbaik untuk rakyat Malaysia.
“Kerjasama hak penamaan ini merupakan satu inisiatif oleh PSM untuk memperkukuh kelestarian dan pembangunan jangka panjang venue-venue ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad, Amar Huzaimi Md Deris berkata, pihaknya berbesar hati untuk memegang hak penamaan dan amat menghargai kepercayaan yang diberikan.
“Selama lapan dekad, TM memainkan peranan penting dalam menghubungkan rakyat Malaysia merentasi generasi.
“Stadium Nasional dan Stadium Putra sekian lama menjadi tempat rakyat Malaysia berkumpul untuk memberi sokongan, meraikan kejayaan dan menyaksikan detik bersejarah.
“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat terus memperkukuh kedua-dua stadium ini agar ia kekal menjadi tempat yang menyatukan masyarakat dan menyemarakkan kebanggaan negara untuk generasi akan datang,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

