PENGARAH sensasi, Syamsul Yusof akhirnya menamatkan kontroversi yang hangat diperkatakan sebelum ini apabila mengesahkan dia sudah bernikah dengan Ira Kazar, hari ini di Thailand.
Menerusi pendedahan yang dilakukan menerusi video di Instagram, Syamsul,39, bagaimanapun tidak mendedakan lokasi pernikahannya.
“Alhamdulillah, syukur saya dah bernikah secara sah hari ini dengan Ira Kazar dengan berwalikan oleh bapanya sendiri.
“Pernikahan kami sudah didaftarkan. Saya bernikah di Thailand dan ada sebab saya pilih berkahwin di sini kerana ingin memudahkan beberapa perkara. Paling penting, pernikahan kami sah disisi syarak Islam
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya akan meletakkan titik noktah terhadap kemelut rumah tangga yang tak sepatutnya di kongsikan dalam media sosial,” katanya.
Dalam pada itu, Syamsul menegaskan, Puteri Sarah Liyana masih lagi isterinya yang sah dan berharap aktres itu pulang ke rumah mereka untuk berbincang berkenaan kemelut rumah tangganya.
“Saya mahu menegaskan Puteri Sarah masih isteri saya. Kepada Puteri Sarah, saya mengharapkan kepulangan awak.
“Pulanglah ke rumah supaya kita dapat berbincang dan tak perlu dihebahkan dalam media sosial. Bawa anak-anak kita balik.
“Apa sahaja kita berbincang di rumah tanpa perlu mengaibkan saya di media sosial. Saya masih suami awak.
“Terus-terang, sudahlah bawa anak-anak ke sana dan sini tanpa keizinan suami sedangkan saya masih suami awak. Saya tak nak cakap lebih, fikir-fikirkanlah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Syamsul turut meluahkan apa sahaja keputusan yang dilakukannya itu tidak bermaksud dia membelakangkan keluarganya.
“Saya tak pernah terlintas membelakangkan keluarga. Saya mengharapkan doa yang baik-baik daripada ibu bapa, adik-beradik dan keluarga.
“Saya berdoa keputusan yang saya buat dirahmati dan dilindungi Allah daripada segala fitnah, hasad dengki serta niat jahat.
“Paling penting, saya mengharapkan doa terbaik. Saya manusia biasa yang ada dosa, yang ada cacat-celanya. Saya mahukan ketenangan dalam hidup, begitu juga isteri saya.
“Jadi kita berbincang, cari jalan penyelesaian yang baik. Bukan terus mengaibkan. Cukuplah menimbulkan fitnah. Yang sudah tu sudahlah, kita berbincang di rumah saja nanti,” jelasnya.

