GALAKSI di mana sistem solar, matahari dan Bumi tempat kita berpijak berada disebut sebagai Bima Sakti (Milky Way). Selain Bima Sakti, terdapat banyak lagi galaksi lain di alam semesta ini. Salah satunya ialah galaksi Andromeda.
Andromeda yang juga dikenali sebagai Messier 31 atau M31 merupakan galaksi yang paling hampir dengan Bima Sakti. Saiznya juga lebih besar daripada Bima Sakti. Tahukah anda, menurut pengkaji, Andromeda sedang dalam perjalanan untuk ‘menelan’ galaksi kita. Ia bergerak 100 kali lebih pantas daripada kelajuan peluru.
Perkara ini pastinya akan terjadi suatu hari nanti dan akan menyebabkan jutaan bintang di dalam kedua-dua galaksi akan terlempar dari orbit masing-masing. Awan debu dan gas angkasa juga akan bercampur antara satu sama lain.


Dengan kelajuan 300 kilometer sesaat serta kedudukan Andromeda yang berada pada jarak 2.5 juta tahun cahaya, ia dijangka akan menelan Bima Sakti dalam jangka masa 4 bilion tahun lagi.
Lantaran pelanggaran yang maha dahsyat itu, proses tersebut akan menyebabkan lahirnya bintang baru. Proses yang terjadi ini akan merobek struktur kedua-dua galaksi yang bertembung. Hal ini turut diperakui oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA).
Setelah melakukan kajian bertahun-tahun, NASA mendapati bahawa ia adalah proses semula jadi alam semesta. NASA juga mengeluarkan teori bahawa penggabungan galaksi adalah salah satu cara lahir atau matinya sesebuah galaksi.
Perkara ini terjadi disebabkan adanya hukum graviti. Seperti yang dirumuskan oleh Issac Newton, setiap objek angkasa akan mengalami daya tarik-menarik dengan objek angkasa lain.
Jika dua galaksi berada cukup dekat antara satu sama lain, daya graviti akan menarik kedua objek tersebut untuk saling mendekati. Seperti galaksi Bima Sakti dan Andromeda, daya graviti kedua-dua galaksi ini akan menyebabkan ia bertembung, seterusnya mengubah struktur asal galaksi.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan penggabungan dua galaksi tidak akan menyebabkan sistem solar kita terganggu atau tidak. Ada teori yang mengatakan sistem solar akan terus beroperasi seperti biasa dan tidak terganggu dengan keadaan sekeliling – proses galaksi yang sedang berubah bentuk. Ia diumpamakan seperti keadaan kereta di jalan raya yang tidak bertembung antara satu sama lain kerana berada di laluan yang betul.
Namun, ada juga teori yang dikemukakan bahawa sistem solar kita akan turut musnah, sama ada berlanggar dengan bintang atau pun terkena serpihan objek pecah seperti asteroid. Penggabungan galaksi itu akan merobek keseluruhan isi galaksi. Mencerai-beraikan bintang, planet serta apa saja jasad objek yang wujud. Ia juga akan mengacau arah graviti dan lintasan orbit setiap benda di dalamnya. Proses tersebut seperti kiamat. Teori ini dikatakan lebih kukuh.
Proses galaksi menelan galaksi bukan saja boleh terjadi kepada dua galaksi semata-mata, tetapi juga boleh melibatkan tiga atau empat galaksi. Kelompok tiga atau empat galaksi yang akan bergabung ini akan bersatu dan menjadi sebuah galaksi yang lebih besar. Perkara ini terus menerus berlaku di alam ruang alam semesta yang luas terbentang ini.
Saintis juga berpendapat, penggabungan galaksi akan menyebabkan wujudnya quasar dan lubang hitam supermasif. Malah, quasar itu sendiri menjadi bukti wujudnya proses penggabungan galaksi. Ia adalah disebabkan pergeseran lubang hitam yang terdapat pada galaksi yang bergabung.
Walaupun ia adalah proses semula jadi alam semesta, namun tidak semua galaksi akan mengalami perkara yang sama. Hanya galaksi tertentu sahaja akan mengalami proses penggabungan ini.
Jika benar Andromeda dan Bima Sakti bertembung, berkemungkinan juga akan berlaku kemusnahan yang sukar untuk kita bayangkan. Bagaimana dengan bumi yang kita duduki? Adakah masih selamat atau turut termusnah? Jangan risau. Kita tidak akan dapat menyaksikannya kerana perjalanan pertembungan kedua galaksi ini masih terlalu panjang, sedangkan kita sendiri belum tentu usia mampu bertahan hidup walau dalam jangka masa 10 tahun pun!
___________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

