Semakin ramai wanita memberi lebih tumpuan kepada meja kopi hari ini. Ia berfungsi untuk kemudahan meletak hidangan tetamu yang bertandang.
Sebenarnya masih ada yang masih keliru dengan fungsi meja kopi di ruang tamu. Malah ada yang menghiasnya dengan pelbagai barang perhiasan sehingga menenggelamkan fungsi utamanya. Berikut adalah beberapa panduan menghias meja kopi agar menyerlahkan bentuk, fungsi dan gayanya. Seperti konsep hiasan lain, anda perlu mendapatkan keseimbangan dari segi gaya, tekstur dan proportion.
Komposisi
Kebanyakan orang keliru dengan elemen ini. Ia bukan mengenai barang-barang yang anda letak atas meja tetapi ia lebih menjurus kepada kesinambungan sebagai satu unit. Barang-barang tersebut seharusnya mempunyai persamaan sama ada menerusi warna, gaya atau tema.
Keseimbangan dan Ukuran
Adalah penting untuk mendapatkan keseimbangan dalam hiasan anda. Barang yang besar boleh menenggelamkan ruang yang ada. Sebaliknya yang terlalu kecil pula hampir tidak kelihatan. Selain itu, barang hiasan berkenaan tidak boleh terlalu tinggi sehingga mengganggu pandangan orang semasa mereka duduk keliling meja kopi.

Idea- Idea dan Panduan Hias Meja Kopi
● Buku-buku, bunga dan barang hiasan biasa didapati atas meja kopi. Anda bebas mengguna atau menikmati keindahannya. Sukar untuk melakukan kesilapan dengan pilihan klasik ini.
● Sejambak bunga dalam balang besar juga mampu menarik perhatian. Letakkannya jauh sedikit dari tengah meja dan imbanginya dengan susunan tiga atau lima buah buku. (Pilih angka ganjil apabila mengumpul barang-barang agar menyedapkan mata memandang). Dan sebuah barang hiasan seperti kotak hiasan atau arca.
● Anda juga boleh menggunakan buku sebagai ‘kaki’ (pedestal). Sekiranya barang hiasan yang anda sukai terlalu kecil, letakkan ia atas susunan buku tersebut. Ia menambah ketinggian dan mewujudkan perbandingan yang menarik.
● Ada kalanya agak menarik untuk menggabungkan beberapa barang berbeza. Namun perhatikan ukuran, warna dan tekstur barang-barang tersebut dan cuba dapatkan gabungan yang kreatif. Misalnya untuk tarikan visual, padankan barang yang melengkung dengan lurus, yang berkilat dengan kusam, berpermukaan tekstur dengan licin. Pastikan ia jenis suai padan.

● Gunakan dulang atau bekas khas untuk menggabungkan barang-barang hiasan kecil. Ia kelihatan kemas dan menarik tumpuan orang.
● Cuba pilih barang-barang dalam satu warna tetapi dalam pelbagai rona. Contoh, biru terang, sederhana terang dan cair.
● Elak memilih barang-barang hiasan yang tidak menarik daripada semua sudut. Contoh, bingkai gambar.
● Cuba letakkan sebuah kotak cantik untuk meletak semua alat kawalan jauh agar mudah digunakan apabila perlu.
● Ambil kira gaya atau konsep keseluruhan ruang tamu meja kopi tersebut. Barang-barang hiasan seharusnya menyerlahkan hiasan ruang bukan kelihatan ganjil pada pandangan.
● Apa pun pilihan anda, elak daripada menyesakkan meja kopi dengan barang-barang hiasan. Penting, ia harus berfungsi bagi meletakkan minuman dan makanan ringan untuk tetamu.
