‘TSUNAMI hijau’ yang melanda negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disifatkan akan terus membesar sekiranya Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berterusan membuat tuduhan dan dakwaan tidak berasas.
Pada masa sama, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ‘tsunami hijau’ itu juga akan berkembang setiap kali Rafizi membuka mulut berbicara dengan penipuan dan sikap bongkak.
Rafizi dalam ucapan di Konvensyen PKR di Kedah semalam mendakwa Pas menang besar pada PRU-15 kerana faktor wang di samping menuduh Muhammad Sanusi menggunakan ‘formula sampah’.
Mengulas mengenai kenyataan Rafizi itu, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menyifatkan ‘formula sampah’ itu juga menyebabkan Pakatan Harapan (PH) hampir musnah di negeri tersebut.
Kata beliau, PRU-15 juga menyaksikan pengundi telah menghukum PH apabila kalah di 14 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah.
“Bagi Rafizi, beliau dan PH tak pernah salah, sempurna dan sentiasa benar dalam semua hal. Sebenarnya, tiada siapa menolak PH dan BN kerana politik wang.
“Tuduhan Rafizi itu umpama menuduh pengundi tidak bijak. Beliau telah menghina pengundi,” katanya menurut laporan FMT.
Baca artikel berkaitan: Judi: Kalau hasil RM400 juta pun saya hentikan, kata Sanusi
Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat turut menyifatkan pengundi ketika ini sudah bijak menilai calon dan parti berasaskan prestasi, bukannya bergantung kepada cakap-cakap yang retorik semata-mata.
“Jika masalah telur dan ayam masih gagal diuruskan apatah lagi harga minyak yang sentiasa dijanjikan akan diturunkan tetapi tidak turun.
“Rafizi akan menjadi punca PH dihukum dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri dan PRU-16 nanti,” katanya.
Kata Sanusi, PAS akan terus menjadi parti “tin Milo”, tidak seperti PKR yang ditaja tauke besar dan berkempen naik helikopter.
Sanusi merujuk kenyataan Rafizi semalam bahawa dana PAS kini semakin susut selepas berbelanja mewah dalam PRU-15 untuk menarik pengundi.
Kata Rafizi, PAS akan kembali kepada cara lama untuk mengutip dana menggunakan “tin Milo” di ceramah.
“Raja politik wang Rafizi pun tahu siapa, beliau sedang bersekedudukan dengan mereka (dalam kerajaan) sekarang ini,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram