“Nak kata saya salah atau betul, itu bukan saya atau sesiapa boleh tentukan. Jadi, kita serahkan pihak mahkamah yang lebih arif.”
Demikian kata pelakon Sharnaaz Ahmad selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki di sebuah kondominium di Jalan Dutamas, hari ini.
Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Mengulas lanjut, bapa kepada seorang anak itu menegaskan bahawa dirinya sudah bersedia untuk menghadapi prosiding yang seterusnya memandangkan kes tersebut sudah pun berlaku.
“Nak kata bersedia atau tidak, kita kena bersedia, benda sudah berlaku dan terjadi ada sebab.
“Dan perkara terjadi ada benda betul di belakangnya. Jadi, saya melantik Datuk Abu Bakar Isa Ramat sebagai peguam untuk membetulkan keadaan di sini,” katanya kepada URTV.

Menyifatkan apa yang sedang dihadapinya itu sebagai ‘warna’ dan lumrah dalam kehidupan, Sharnaaz bagaimanapun enggan memanjangkan perkara terbabit.
“Saya tidak mahu memanjangkan apa-apa kes di sini, tetapi apa sahaja keputusan kita tidak boleh membelakangi pihak mahkamah.
“Bagi saya, ini adalah perkara asas sesama lelaki, kita semua ada angin. Lelaki gaduh ini lain, hari ini gaduh, esok boleh berkawan baik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, peguam Datuk Abu Bakar Isa Rahmat memaklumkan pihaknya akan mengemukakan satu permohonan representasi kepada pihak pendakwaan bagi menggugurkan kes berkenaan jika dibenarkan mahkamah.
Sharnaaz didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sharnaaz dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM2,000 oleh seorang penjamin selain mahkamah menetapkan tarikh 6 Mac ini bagi serahan dokumen.
Terdahulu, Shaarnaz yang juga dikenali dengan jolokan ‘Mamu’ dan Lan Todak itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan menumbuk dan menendang seorang lelaki berusia 27 tahun di kawasan lif dan pintu masuk sebuah kondominium, jam 8.30 malam pada 16 Jun tahun lalu.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

