PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengambil maklum berhubung isu video trailer bagi filem Pulau yang tular di media sosial ketika ini.
Video yang sedar tular ini memaparkan beberapa adegan yang keterlaluan dan dilihat sebagai tidak menitikberatkan budaya kesopanan dan kesusilaan yang diamalkan rakyat Malaysia dan sebarang penggambaran sebegini tidak sewajarnya berlaku.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir berkata, penguatkuasaan garis panduan untuk semua kandungan penerbitan adalah terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Penapis Filem (LPF) di Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Fungsi LPF ialah melaksanakan dasar penapisan dan menapis filem untuk seluruh Malaysia dengan penguatkuasaan Akta 620, Akta Penapisan Filem 2002.
“Filem Pulau ini telah menerima kelulusan daripada LPF pada September 2022 yang mana tugasan penapisan filem dilaksanakan dengan menggunakan kaedah panel tiga orang Ahli Lembaga Penapis.
“Keputusan panel diperakukan untuk pertimbangan Pengerusi atau Naib Pengerusi Lembaga. Sesuatu pertimbangan yang dibuat adalah berdasarkan peraturan dan kriteria yang ditetapkan oleh tiga dokumen asas iaitu Akta Penapisan Filem, Garis Panduan Penapisan Filem dan Panduan Khusus Penapisan Filem.
“Filem merupakan salah satu platform yang terbaik dalam menyemai semangat toleransi, persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan bangsa. Namun begitu, FINAS tidak menghalang atau menyekat usaha mana-mana pihak untuk mengeluar dan menerbitkan karya seni sebagaimana yang termaktub dalam Akta 244, Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasioanal Malaysia 1981, dan pematuhan kepada prosedur permohonan lesen penggambaran yang meliputi Siji Perakuan Penggambaran (SPP), Lesen Pengeluaran Filem (PF), dan Lesen Pengedaran Filem (DF) serta mana-mana akta perundangan Kerajaan Malaysia yang sedang berkuat kuasa,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Alif Satar tegaskan tak terlibat aksi ‘panas’ filem Pulau – “Jika saya rasa babak ini tak sesuai untuk dilakonkan, saya beritahu pengarah…,”
Ujar Md Nasir, FINAS akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan Peraturan-Peraturan Perlesenan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (1983), Peraturan 6(2) yang boleh membatalkan sesuatu lesen jika pemegang lesen itu telah disabitkan atas suatu kesalahan berkenaan dengan kecurangan, fraud atau keburukan akhlak.
“Sehubungan dengan perkara ini, FINAS ingin menasihatkan agar setiap penggiat industri agar lebih sensitif dan berhati-hati dalam penghasilan sesuatu karya kreatif dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan.
“Ia supaya tidak menimbulkan prasangka yang tidak baik atau rasa tidak senang dalam kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai latar belakang budaya dan agama,” ulasnya.
Dalam pada itu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) turut menggesa LPF mengkaji semula kelulusan tayangan filem kontroversi itu yang dijadualkan ditayangkan pada 9 Mac ini.
Sebelum ini, pendakwah bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau PU Syed membangkitkan isu berkenaan kerana menganggap filem Pulau mencemarkan budaya Malaysia dengan babak lucah dan keterlaluan.
Filem itu merupakan terbitan WebTVAsia dengan kerjasama My Way Pictures dan Filmforce Studio.
Membariskan pelakon terkenal seperti Alif Satar, Amelia Henderson, Nam Ron, Wan Hanafi Su, Ikmal Amry, Sanjna Suri, Joey Leong, Harris Anuar, Jazmy Juma, Mark O’Dea, Sabronzo, Evie Feroza, Cedric Loo, Pui Yi dan Vikar.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

