PELAKON Sharnaaz Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki di kondominium di Jalan Dutamas, Jun tahun lalu.
Sharnaaz atau nama sebenarnya Shaarnaz Ahmad Basir Ahmad, 38,membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, pagi ini.
Mengikut pertuduhan, Sharnaaz selaku orang kena saman (OKS) yang hadir ke mahkamah berbaju biru gelap didakwa dengan sengaja mencederakan mangsa, Izzul Islam Awang di Blok C kondominium Changkat View, Kuala Lumpur sekitar jam 8.30 malam pada 16 Jun tahun lalu.
Pelakon yang terkenal dengan filem Juvana itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal mencadangkan kepada mahkamah agar Sharnaaz diikat jamin sebanyak RM5,000.
Bagaimanapun, peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya seorang duda dan menjaga seorang anak berusia lima tahun selain memberikan kerjasama penuh ketika siasatan pihak polis.
Susulan itu, mahkamah membenarkan Sharnaaz diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.
Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 6 Mac ini bagi urusan penyerahan dokumen.
Jun tahun lalu, Sharnaaz direman tiga hari selepas didakwa menumbuk dan menendang seorang penghuni sebuah kondominium di Segambut, Kuala Lumpur.
Kejadian berlaku selepas rakan mangsa mahu menghantar minyak masak tetapi dilarang masuk ke kawasan kondiminum berkenaan oleh pengawal keselamatan sebelum pelakon terbabit datang secara tiba-tiba dan memukul mangsa.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

