PERMOHONAN bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewangan dana SRC International didengar oleh panel lima hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli, di Mahkamah Persekutuan, bermula.
Hakim yang turut bersidang hari ini ialah tiga hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan, dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.
Hakim Abu Bakar yang dibariskan bersama panel Mahkamah Persekutuan dibenarkan mengikut Perkara 122(2) Perlembagaan Persekutuan di mana Ketua Hakim Negara berpendapat terdapat keperluan itu selepas menimbangkan kepentingan keadilan.
Najib, 69, diwakili barisan peguam yang diketuai Datuk Muhammad Shafee Abdullah, manakala Datuk V Sithambaram mengetuai pendakwaan selaku responden dalam semakan berkenaan.
Pendengaran semakan itu yang dibuat mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 akan didengar panel berlainan daripada panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 24 Ogos tahun lalu yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Najib memfailkan permohonan semakan semula itu pada September selepas mahkamah tertinggi mengesahkan sabitan atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram dalam kes itu.
Pada 23 Ogos lalu, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dikekalkan oleh panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu sebelum ini memohon rayuan berkenaan didengar korum Mahkamah Persekutuan lain yang mengandungi tidak kurang daripada tujuh hakim Mahkamah Persekutuan atau yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Beliau yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang, turut memohon hukuman ke atasnya itu ditangguhkan sementara menunggu pendengaran permohonan semakan berkenaan.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

