LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) merekodkan pencapaian luar biasa hasil cukai pada tahun 2022 yang juga merupakan kutipan terbesar dalam sejarahnya.
Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pencapaian itu juga dijangka mengatasi sasaran yang ditetapkan bagi 2022 iaitu RM139 bilion.
Katanya, 2022 adalah tahun paling cemerlang kepada LHDN sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai agensi nombor satu penyumbang kepada hasil negara selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
“Satu angka yang terbaik pernah direkodkan namun jumlah sebenar akan diumumkan oleh Menteri Kewangan nanti.
“2022 adalah tahun paling cemerlang kepada LHDN dari segi kutipan,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat LHDN di Cyberjaya.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr Mohd Nizom Sairi.
Kutipan cukai LHDN pada 2021 meningkat sebanyak 17 peratus kepada lebih RM140 bilion berbanding 2020, menyumbang hampir separuh daripada jumlah pendapatan negara ketika itu.
Baca artikel lain: Op Selamat bukan untuk ganggu perjalanan balik kampung
Mengulas prestasi itu, Ahmad berkata, kecekapan kutipan hasil secara langsung akan turut menambahkan hasil negara selain melaksanakan pelbagai langkah dan kaedah seperti menangani ekonomi bayangan.
“Aktiviti ekonomi bayangan dianggarkan menyumbang sekitar 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kita mampu bakal memperolehi kutipan cukai tambahan RM70 bilion atau 20 peratus daripada RM350 bilion setahun hasil aktiviti ekonomi bayangan,” katanya.
Ahmad berkata, jumlah rakyat yang aktif membayar cukai juga adalah tinggi iaitu seramai tiga juta orang, manakala bagi perniagaan pula sekitar 400,000.
Sehubungan itu, beliau berkata hasil negara yang datangnya daripada hasil cukai langsung dan tidak langsung adalah penyumbang terbesar kepada pendapatan negara.
“Oleh yang demikian, kerajaan amat menitikberatkan prestasi serta kemampuan LHDN dalam melaksanakan tanggungjawab ini kerana berdasarkan statistik yang direkodkan, kutipan cukai langsung menyumbang lebih 50 peratus daripada jumlah pendapatan negara.
“Sudah semestinya angka ini menunjukkan hampir separuh pendapatan negara dijana melalui kutipan cukai langsung ini,” katanya.
Berikutan prestasi kukuh kutipan cukai langsung, Ahmad berkata masih tiada perbincangan diadakan oleh kerajaan untuk memperkenalkan cukai baharu, termasuk mengembalikan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) buat masa sekarang.
“Tiada perbincangan mengenainya (cukai baharu) sejak Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, tetapi negara perlu menambahkan hasil melalui pelbagai kaedah yang kreatif,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

