YAYASAN Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutuk tindakan membakar al-Quran oleh ahli politik pelampau kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata kemarahan dan kekecewaan rakyat Malaysia terutamanya penduduk majoriti Islam berikutan insiden itu adalah wajar.

“Kami percaya sikap biadap berkenaan tidak melambangkan budaya dan kepercayaan majoriti rakyat Sweden yang lain. Tindakan ini seharusnya dihentikan segera untuk mengelak keadaan menjadi lebih buruk.

“Selain mengadakan bantahan menerusi saluran diplomatik, Yadim percaya bahawa ajaran Islam dan al-Quran mesti disebarkan bukan sahaja di dunia Islam semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tuan Kamarul berkata mesej ke arah belas kasihan, rahmah dan kasih sayang serta budi bahasa yang terdapat dan selalu ditegaskan dalam al-Quran mesti ditegakkan serta sebarang percubaan untuk mengundang kebencian dan keganasan atas alasan kebebasan dan hak asasi manusia tidak boleh dibenarkan.

Baca artikel berkaitan: Bakar al-Quran: Panggil Duta Besar Sweden tuntut penjelasan – Dewan Pemuda Pas

Sementara itu, veteran DAP Lim Kit Siang berkata tindakan Paludan bukan sahaja satu perbuatan yang mencemarkan kitab suci agama Islam tetapi juga satu bentuk ucapan kebencian yang tidak dapat diterima sebagai ‘kebebasan bersuara’ dalam mana-mana masyarakat bertamadun.

“Pembakaran kitab suci agama Islam adalah satu bentuk Islamofobia yang jelas namun pada masa yang sama tindakan mengada-adakan Islamofobia dengan tidak adanya fenomena ini untuk menimbulkan kebencian dan syak wasangka juga merupakan satu perkara yang tidak bermoral, tidak bertanggungjawab dan jahat,” katanya dalam kenyataan.

Semalam Anwar dilaporkan bukan sahaja mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu malah menggesa kerajaan Sweden supaya mengambil tindakan segera ke atas pelaku perbuatan keji itu selain memastikan langkah drastik di masa depan untuk menangani peningkatan Islamofobia yang membimbangkan di negara itu.

Paludan, pemimpin parti pelampau kanan Denmark ‘Stram Kurs’, diberikan kebenaran membakar al-Quran pada Sabtu di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm yang membangkitkan kemarahan penganut Islam di seluruh dunia.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram