Bekas Ketua Bahagian UMNO Ketereh, Tan Sri Annuar Musa. GAMBAR: Abd Razak Aid

PEMECATAN beberapa pemimpin UMNO dengan alasan untuk membersihkan parti adalah tidak relevan dan hanya atas kepentingan tersendiri, kata bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut Annuar, pembersihan yang dilakukan itu akan hanya menghasilkan lebih banyak kotoran kerana punca sebenar kotoran kekal berpaut dalam parti.

Annuar mendakwa, tindakan pemecatan itu menunjukkan ada pemimpin UMNO yang berbangga memonopoli kuasa dalam parti dan menunggang parti berasaskan naratif palsu rekaan sendiri.

“Kepada sahabat sahabat yang berjuang dan cuba untuk berkata benar dan memperbaiki parti dari terus rosak, syabas saya ucapkan.

“Saya harap semua bertenang dan sabar. Memecat orang yang tidak bersependapat adalah cara paling mudah untuk seseorang kekal berkuasa.

“Percayalah, berkata benar itu mahal harganya. Dan ingatlah, jika pun mereka kini berkuasa,masih ada yang lebih tinggi kuasanya,” katanya dalam perkongsian di media sosial beliau hari ini.

Baca lagi: Annuar Musa ambil tindakan undang-undang berhubung isu polemik Menara KL

Terdahulu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) semalam memutuskan untuk memecat dan menggantung beberapa nama besar yang didakwa mensabotaj parti.

Antara yang dipecat ialah bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Noh Omar, 5 orang ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, 9 orang ahli UMNO Bahagian Putrajaya, 2 orang ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 orang ahli UMNO dari negeri Pahang.

Manakala Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Maulizan Bujang, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Shahril Sufian Hamdan digantung keahlian selama enam tahun.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, pemimpin-pemimpin UMNO masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa rakyat telah memberi isyarat menolak parti tersebut.

Tegas Annuar, pemimpin-pemimpin dalam UMNO dilihat lebih gemar menyalahkan rakyat, pengundi dan semua orang lain kecuali diri sendiri.

“Jadi biarkanlah mereka dalam dunia mereka itu..rakyat sudah pun meninggalkan mereka..malah tiba masanya ahli akan turut meninggalkan parti beramai ramai..

“Berilah UMNO kepada mereka untuk dijadikan perisai peribadi dan perniagakan sebagai syarikat sendirian berhad sendiri,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram