Secara amnya, gam antara barang biasa digunakan dalam kehidupan bagi melekatkan sesuatu. Namun, pernahkah anda mendengar gam paling tua di dunia yang pernah ditemui?

Penemuan gam kuno yang dihasilkan oleh Neanderthal antara yang mendapat perhatian dalam dunia arkeologi. Neanderthal atau Neandertal adalah merujuk kepada kumpulan genus Homo yang telah pupus, berasal dari zaman Pleistosen. Namanya diambil bersempena lokasi tempat di mana ia dijumpai iaitu sekitar Neandertal atau Lembah Neander di Jerman.

Saintis mengklasifikasikan Neanderthal sebagai subspesies manusia iaitu Homo sapiens neanderthalensis atau spesies yang berlainan dikenali Homo nenaderthlensis.

Neanderthal dikirakan hidup di seluruh Eropah hingga Asia sekitar 500 juta dahulu, sebelum pupus dari muka bumi kira-kira 40,000 tahun yang lalu. Terdapat beberapa spekulasi dikaitkan dengan kepupusan mereka. Antara teorinya, Neanderthal mati dibunuh oleh manusia moden.

Spekulasi lain mengatakan letusan gunung berapi bersiri yang menggoncang Itali dan pergunungan Kaukasus sekitar puluhan ribu tahun dahulu menjadi punca kepada kemusnahan spesies itu.

Neanderthal, kumpulan yang telah pupus. Kumpulan ini disebut pengkaji sebagai yang pertama menghasilkan gam untuk digunakan dalam peralatan mereka.

Berdasarkan beberapa penemuan spesimennya di Eropah dan Asia, sejarah Neanderthal terperangkap dengan reputasi yang tidak menentu. Ahli sarjana selama ini memandang remeh pada daya kognitif Neanderthal, malah dianggap kuno, tidak berpengetahuan dan tidak dapat melakukan sesuatu selayak manusia moden. Alasannya kerana bentuk anatomi mereka berbeza dengan generasi pada hari ini.

Ternyata, andaian itu silap. Penemuan dan penelitian sekumpulan saintis yang diterbitkan dalam jurnal Scientific Report pada bulan 2017, mengungkapkan bahawa Neanderthal memiliki kepintaran dan kemahiran tinggi. Buktinya, mereka mampu menghasilkan gam pertama seawal 200,000 tahun yang lalu menggunakan bahan alami yang tidak pernah difikirkan oleh manusia pada masa kini.

Ahli arkeologi menemui gam berupa ketulan hitam itu pada batu berlapis ketika melakukan kerja-kerja ekskavasi di lokasi bekas penempatan Neanderthal di seluruh Eropah sekitar dua dekad lalu. Ketulan hitam tersebut merupakan pelekat berasaskan tar dan diguna pakai untuk kerja-kerja mencantumkan kepala kapak, tombak serta alat perburuan lain.

Daripada pemerhatian mendapati, gam tar itu sebenarnya dihasilkan daripada kulit kayu jenis pokok birch yang banyak terdapat di tapak Neanderthal di sekitar Itali dan Jerman. Soal bagaimana mereka memproses bahan pelekat tersebut masih menjadi kajian.

Gam tar dihasilkan daripada kulit kayu pokok birch.

Atas sebab itu, sekumpulan saintis dari Universiti Leiden di Belanda memutuskan untuk mengkaji sendiri cara penghasilan gam kuno seperti mana yang pernah dilakukan oleh genus Homo suatu ketika dulu. Untuk itu, peneliti telah merencana beberapa kaedah berupa eksperimen dan simulasi menggunakan alat primitif zaman Pleistosen.

Diketuai oleh Paul Kozowyk dan Geeske Langejans, para penyelidik telah menguji menggunakan tiga teknik berbeza untuk mengeluarkan tar dari kayu pokok birch. Mulai daripada kaedah paling mudah sehinggalah yang paling kompleks.

Cara mudah dipanggil ‘ash mound’, peneliti hanya memerlukan gulungan kulit pokok birch dan api. Bahan itu kemudian diletakkan dalam bekas khas lalu dibakar di atas api terbuka. Selang 20 minit, kulit kayu dikeluarkan dan didapati hanya kira-kira sedikit tar berukuran sebesar biji kacang terhasil.

Ujian seterusnya dipanggil ‘pit roll’. Sekeping kulit kayu pokok birch digulung kemudian ditanam di dalam tanah. Selepas dibakar selama 40 minit, jumlah tar yang terhasil juga tidak banyak iaitu kira-kira berukuran duit syiling sahaja.

Kozowyk bersama pasukannya kemudian beralih pada kaedah paling rumit yang disebut sebagai ‘raised structure’. Teknik yang digunakan untuk eksperimen ini serupa dengan ‘pit roll’ di mana pengkaji menggali lubang pada tanah lalu memasukkan kulit kayu pokok birch ke dalamnya. Kemudian, diletakkan longgokan ranting pokok willow di atasnya dan dibakar. Hasilnya, kira-kira 15 hingga 20 kali lebih banyak tar dapat dihasilkan berbanding kaedah sebelumnya.

Eksperimen dilakukan untuk menghasilkan gam kuno itu.

Bagaimanapun, kata Kozowyk, jumlah tersebut tidak dapat menandingi seperti mana yang dihasilkan oleh Neanderthal. Hal ini menunjukkan, Neanderthal mempunyai kemahiran semula jadi. Dengan menggabungkan pengetahuan dan bahan sedia ada, mereka bukan sahaja mahir menghasilkan gam daripada tar kayu tetapi tahu bagaimana untuk menggunakannya.

Erik Trinkaus, ahli antropologi dari Washington University berkata bahawa manusia kuno dan manusia moden sebenarnya memiliki kebersamaan. Masing-masing mampu beradaptasi dengan persekitaran, berimaginasi dan menghasilkan pelbagai ciptaan. Demikian juga halnya yang berlaku kepada Neanderthal di mana mereka belajar dan bereksperimen melalui persekitaran.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare