MALAYSIA akan mengambil beberapa tindakan segera bagi menambah baik pengurusan pekerja Indonesia di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara yang menjadi tumpuan adalah pengurangan tempoh masa dan kos migrasi yang terkait dengan penggajian pekerja asing.
Pada masa sama, katanya, kerajaan juga akan mengoptimumkan penggunaan teknologi pendigitalan bagi tujuan integrasi sistem dan memudah cara pemantauan pekerja asing.
“Saya telah menerangkan tentang perubahan dasar di Malaysia berkenaan pekerja asing merujuk kepada
penjajaran pengurusan pekerja asing.
“Ini termasuklah penerangan tentang Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dan pelanjutan Pelan Rekalibrasi PATI 2.0 yang akan mengisi keperluan tenaga kerja dalam sektor-sektor kritikal
untuk memacu pembangunan ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, perbincangan turut diadakan bersama Menteri Ketenagakerjaan, Puan Yang Terutama Dr Hajah Ida Fauziyah dan Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia, Tuan Yang Terutama Yasonna H Laoly.
Beliau berkata, pertemuan itu ditunjangi komitmen pucuk pimpinan kedua-dua negara bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pekerja asing dari Indonesia yang berkhidmat di negara ini sentiasa dilindungi pada setiap masa.
“Sukacita saya maklumkan bahawa pihak Indonesia menyambut baik perubahan dasar dan penjajaran fungsi pengurusan pekerja asing di Malaysia.
“Persetujuan ini akan dimanifestasikan melalui perbincangan di peringkat pegawai dalam mekanisme jawatankuasa sedia ada antara kedua-dua negara,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata, perbincangan pada hari ini turut menyentuh perihal penguatkuasaan undang-undang imigresen dan perburuhan membabitkan pekerja Indonesia, pengurusan penghantaran pulang banduan dan tahanan imigresen serta tindakan penyelarasan bagi meminimumkan risiko pekerja asing daripada diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Selain itu, beliau berkata, perihal kerjasama keimigresenan dan kawalan sempadan turut dibincangkan bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan kedua-dua negara dapat direncanakan dengan baik.
“Lawatan ini juga merekodkan komitmen kedua-dua pihak untuk bekerjasama merentasi portfolio kementerian-kementerian tertentu,” katanya.
Beliau berkata, Indonesia adalah negara pertama yang dilawati dalam rangka lawatan kerja delegasi Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia ke negara sumber terpilih.
Katanya, tujuan utama lawatan kerja itu bagi menyusul keputusan pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo awal bulan ini khususnya yang terkait dengan pengurusan penggajian pekerja asing.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

