Media sosial bukan lagi sekadar medan curahan rasa sebaliknya ia mampu menjana pendapatan lumayan andai digunakan dengan cara yang betul. Hanya dengan mengekalkan momentum dan disiplin rutin di laman TikTok, pengguna boleh menjana pendapatan sehingga RM1000 sehari menerusi penggunaan platform TikTok.
Ulas Ketua Pegawai Eksekutif KamiSempoi International Agency (KSIA), To Chin Swee atau lebih dikenali sebagai Pakcik Chin Swee, sehingga kini, jumlah TikTokers yang berada di bawah kelolaannya berjaya memperoleh lebih RM100,000 sebulan hasil penggunaan platform TikTok secara konsisten.
“Platform TikTok bukan sekadar untuk mencari hiburan semata-mata, platform ini juga telah melahirkan bakat baru dunia hiburan, malah mereka juga boleh menjana pendapatan melaluinya. Sehingga kini seramai 670 orang TikTokers berada di bawah agensi kami dan mereka dibahagikan kepada empat kategori iaitu Silver Host, Gold Host, Platinum Host dan Celebrity Host.
“Dan daripada sini, setiap TikTokers akan dinilai berdasarkan prestasi dan akan naik level mengikut jumlah pengikut dan pendapatan yang diperolehi. Rata-rata top talent kami memperoleh tidak kurang antara RM50,000 hingga RM120,000 sebulan sebagai sumber pendapatan.
“Kami terbuka untuk menerima bakat baru dan mensasarkan seramai 2400 hos di bawah KamiSempoi pada tahun ini. Kriterianya cukup mudah, anda hanya perlu yakin dan percayakan diri sendiri. Selebihnya kami akan ajar daripada zero to hero.
“Kita boleh lihat sebelum ini TikTok hanya penuh dengan konten bercorak tarian dan wanita seksi. Namun secara perlahan-lahan kita dapat melihat perubahan positif di mana lahir lebih ramai TikToker yang muncul berkongsi ilmu dan pelbagai hiburan menarik. Kami mahu membawa konten TikTok lebih maju dan bermanfaat kepada semua,” ulasnya kepada media pada Majlis Menandatangani Hubungan Kerjasama Antara KSIA dan Kelab Wanita Ikon Malaysia Kempen CSR ‘Are You Ok?’.
Dalam pada itu, KSIA turut menjayakan Kempen ‘ARE YOU OK” bersama Kelab Wanita Ikon untuk meningkatkan kesedaran dalam menangani masalah psikologi mental khususnya di kalangan wanita.
Terdahulu KSIA telah ditubuhkan pada 12 Disember 2021 setelah dilantik sebagai salah satu agensi dibawah pihak pengurusan TikTok Malaysia.