PENERBIT filem Pulau,Fred Chong kecewa dengan tindakan kerajaan negeri Terengganu yang mengharamkan naskhah tersebut ditayangkan di negeri itu.
Ekoran itu, Fred melahirkan rasa kebimbangan sekiranya situasi tersebut akan mendorong negeri lain untuk melakukan hal yang sama sekaligus memberi kesan besar terhadap tayangan karya arahan Euho tersebut.
Jelas Fred, surat daripada Majlis Perbandaran Kemaman diberikan kepada pihak TGV pada 9 Februari lalu atas keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang melarang filem Pulau ditayangkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Amelia Henderson tak terbabit dengan aksi panas filem Pulau, hanya fokus pada watak sendiri – “Kalau rasa tak sesuai, jangan tengok”, Filem ‘Pulau’ tidak sesuai ditayangkan, perlu teliti semula SOP – Fahmi, Penerbit Pulau, Fred Chong minta tonton dulu filem baru kritik – “Apa yang dilihat di trailer cuma satu peratus daripada keseluruhan filem,”
“Pihak mereka tidak membenarkan filem ini ditayangkan atas alasan mengandungi adegan-adegan yang keterlaluan sedangkan belum ada sesiapa lagi yang menonton filem ini.
“Saya rasa ini adalah satu tindakan yang sangat bahaya kerana ia boleh mempengaruhi negeri-negeri lain untuk mengharamkan filem Pulau.
“Mungkin dari tiga pawagam ia boleh merebak kepada 60 pawagam yang tidak membenarkan filem kami ditayangkan,” katanya kepada URTV.
Fred berkata demikian pada sidang media yang diadakan secara maya, petang tadi.
Meskipun diharamkan untuk tontonan di negeri Terengganu, filem Pulau akan tetap ditayangkan pada 9 Mac ini.
Sementara itu, Fred akui sudah menghantar surat rayuan kepada kerajaan negeri Terengganu dan berbesar hati mempelawa pihak terbabit untuk menonton filem tersebut sebelum membuat keputusan.
“Saya sudah menghantar surat rayuan kepada kerajaan negeri Terengganu dan ketika ini saya sedang menanti surat sokoangan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
“Saya mempelawa wakil kerajaan negeri bersama-sama dengan wakil TGV serta FINAS untuk menonton dahulu filem Pulau dan boleh buat penilaian jika ada adegan-adegan keterlaluan seperti yang tertera dalam surat yang dihantar oleh mereka.
“Sekiranya saya dapat maklum balas daripada pihak kerajaan negeri dan surat sokongan daripada FINAS, saya sendiri akan ke Terengganu,” ujarnya.
Tegas Fred, sepatutnya isu ini tidak berlaku memandangkan mereka sudah mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF), FINAS dan Syarat Wajib Tayang.
Kata Fred, sekiranya ada babak ‘soft porn’ seperti yang didakwa sebelum ini, sudah tentu filem tersebut tidak mendapat kelulusan daripada badan-badan berwajib.
Kesan daripada kontroversi berkenaan, Fred mendedahkan mereka terpaksa menanggung kerugian besar selepas pihak penaja menarik semula tajaan.
“Kos untuk hasilkan filem ini saja menelan belanja sekitar RM4 juta. Semua tenaga kru produksi dan para pelakon memberikan yang terbaik untuk filem ini.
“Sebagai syarikat produksi, ia memberi kesan besar kepada kami selepas penaja telah tarik diri dan kami rugi RM500,000. Pihak penaja memberi alasan filem tersebut terlalu banyak komen-komen negatif. Bagaimana kami nak mempromosikan filem ini jika nak bayar stesen radio untuk mainkan lagu OST Pulau pun kami tak mampu?.
“Produksi juga tak mampu nak melabur untuk beli iklan papan gergasi dan hasrat nak buat malam gala secara besar-besaran seperti filem-filem terbitan saya sebelum ini tidak akan berlaku sebab kami tak ada bajet,” luahnya lagi.
Fred juga menyeru kepada semua pihak yang sebelum ini menghentam dan berkeras mahu filem berkenaan tidak ditayangkan di negara ini untuk menonton dahulu sebelum melontarkan pendapat.
Pulau yang dibintangi oleh Alif Satar, Amelia Henderson, Ikmal Amry, Sanjna Suri, Harris Annuar, Pui Yi dan ramai lagi akan ditayangkan di 75 buah pawagam seluruh negara.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

