MALAYSIA masih belum terima notis rasmi berhubung perintah sita terbaharu oleh Mahkamah Luxembourg terhadap dua anak syarikat PETRONAS seperti yang dilaporkan media, semalam.
Ia susulan tuntutan daripada kumpulan Sulu untuk menguatkuasakan anugerah AS$15 bilion yang mereka peroleh terhadap aset kerajaan Malaysia di negara itu.
Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, berikutan itu pihaknya tidak dapat mengesahkan laporan media berkenaan.
Jika ia dibuktikan benar, ia bukan usaha kali pertama kumpulan itu untuk merampas aset Malaysia di Luxembourg, berdasarkan kepada keputusan oleh penimbang tara Sepanyol yang lantikannya dibatalkan oleh mahkamah sama yang melantiknya sebelum itu.
“Beberapa media melaporkan hari ini mengenai cubaan menyita aset di Luxembourg oleh pihak yang mendakwa mereka adalah waris Sultan Sulu terhadap Malaysia dan juga terhadap PETRONAS, sebuah syarikat bebas.
“Malaysia tidak menerima sebarang notis rasmi membabitkan perintah sitaan ini,” katanya dalam stau kenyataan akhbar hari ini.
BERITA BERKAITAN Tuntutan kumpulan Sulu: RM31 juta bagi pengendalian kes mahkamah
Azalina berkata, apa yang dikatakan sebagai usaha terbaharu itu dilihat sebagai menggunakan perintah pertama yang gagal dilaksanakan sebelum ini, yang baru-baru ini ditarik balik oleh mahkamah di Luxembourg.
Justeru, Azalina berkata, Malaysia akan bersungguh-sungguh mempertahankan hak negara ini di mahkamah bagi memastikan perintah sitaan kedua ini, jika ia wujud, akan juga ditarik balik oleh mahkamah di Luxembourg, seperti mana perintah sebelum ini.
Pada masa sama, Azalina mengingatkan orang ramai bahawa pihak berkenaan dan peguam mereka cuba memesongkan kebenaran kepada pihak media, seperti yang dilakukan di mahkamah sebelum ini.
“Kes ini berkenaan dengan skandal timbang tara sebenar yang menjejaskan dua institusi asas prinsip undang-undang, iaitu menghormati undang-undang dan mematuhi mahkamah, dan Malaysia tidak akan akan berputus asa dalam mempertahankan haknya,” katanya.
Semalam media melaporkan, Mahkamah Luxembourg mengeluarkan perintah sita baharu kepada dua anak syarikat PETRONAS susulan tuntutan daripada waris kumpulan Sulu untuk menguatkuasakan anugerah AS$15 bilion yang mereka peroleh terhadap aset kerajaan Malaysia.
Agensi media antarabangsa, Reuters melaporkan dalam dokumen mahkamah yang dilihatnya daripada peguam Kumpulan Sulu, mereka memohon untuk menguatkuasakan anugerah AS$14.9 bilion yang diberikan kepada mereka oleh mahkamah timbang tara Perancis tahun lalu.
Timbang tara berkenaan adalah berhubung tuntutan waris kumpulan itu terhadap Malaysia mengenai hak penguasaan kawasan yang dikatakan dimeterai pada zaman kolonial.
Malaysia tidak pernah mengambil bahagian dalam timbang tara itu kerana kekal dengan pendirian bahawa proses itu adalah tidak sah.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

