“BAGI saya, selagi ada nyawa, apa yang tidak betul akan terus saya suarakan walau pahit untuk didengar oleh kumpulan yang tidak hilang deposit.”
ITU kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Menurut Dr Mahathir, beliau sering kali disuruh berehat dan diam kerana kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Katanya, perkara tersebut didapati berlaku setiap kali beliau menegur atau menyatakan kerisauan terkait perkembangan semasa, hanya kerana bekas Ahli Parlimen Langkawi itu hilang deposit dalam PRU-15.
Jelas Dr Mahathir, setiap kebenaran itu perlu dinyatakan walaupun yang mendengarnya hanya seorang.
Beliau malah menegaskan, jika tidak ada seorang pun yang mendengar, kebenaran tetap perlu dinyatakan.
“Saya agak hairan kenapa begitu beriya-iya mahu saya tidak bersuara. Dulu dikata saya nyanyuk. Sekarang disuruh diam kerana hilang deposit.
“Kebenaran bukan monopoli majoriti atau minoriti atau yang tidak hilang deposit.
“Kalau itulah ukurannya, saya rasa kumpulan minoriti perlu diam dan menerima apa sahaja keputusan majoriti walaupun salah,” katanya dalam hantaran tersebut.
Baca artikel berkaitan: Dr Mahathir dipelawa sertai Putra, jadi penasihat
Pada PRU-15 lalu, Dr Mahathir menjadi antara 369 calon kerusi Parlimen yang hilang wang deposit selepas memperoleh undi kurang satu per lapan daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.
Beliau tewas teruk kepada calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Suhaimi Abdullah dengan majoriti 13,518 undi.
Dr Mahathir hanya berjaya memperoleh 4,566 undi.
Baru-baru ini, beliau menyuarakan rasa terkilan dan sedih selepas ditolak pengundi di Langkawi.
Beliau berkata, komitmennya membangunkan pulau itu menerusi pemberian status bebas cukai pada 1987 sehingga gah di persada dunia seolah-olah tidak dihargai.
Dr Mahathir memberitahu beliau turut hairan ditolak pada PRU-15 lalu kerana yakin tidak melakukan sebarang kesalahan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

