Banyak masa terbuang tempuhi kesesakan lalu lintas

Dari Penulis

Oleh Ahmad Abd Hamid

MEMANDU dalam kesesakan lalu lintas sudah lumrah di bandar raya Kuala Lumpur. Tiada hari yang dilalui tanpa kesesakan, terutama pada waktu puncak. Fenomena ini mahu tidak mahu terpaksa dihadapi oleh warga kota. Pendek kata, alah bisa tegal biasa.

Apabila terjebak dalam kesesakan lalu lintas ini. Terpaksalah bersabar dan kuatkan semangat apabila kenderaan bergerak perlahan seperti kura-kura, bumper bertemu bumper.

Mungkin orang ramai tidak pernah terfikir berapa lama seseorang tersangkut dalam kesesakan lalu lintas setiap hari di Kuala Lumpur, atau dalam setahun. Mereka tidak memikirkan kerana minda sesak akibat keletihan tersangkut di jalan raya setiap hari.

Sebenarnya berapa banyak masa dihabiskan menempuh kesesakan di Kuala Lumpur agak subjektif.  Secara umum tiada jangka waktu tepat memandangkan kesesakan dialami oleh setiap orang tidak sama.

Namun berdasarkan laporan sebuah syarikat navigasi Belanda, Tom Tom, kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur menduduki tempat ke 143 daripada 389 bandar raya seluruh dunia yang terangkum   dalam kajian Tom Tom.

Menurut Laporan Indeks Lalu Lintas (LILL) bagi tahun 2022 yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan baru-baru ini, secara purata seorang pemandu di ibu negara memerlukan 16 minit 10 saat untuk memandu bagi jarak perjalanan 10 kilometer. Ini merupakan peningkatan 1 minit 40 saat berbanding tahun 2021.

Namun realitinya jika diambil kira kesesakan di ibu negara, terutama waktu puncak, masa yang diambil memandu 10 kilometer jauh melebihi 16 minit 10 saat. Memang ada yang kurang setuju dengan dapatan kajian berkenaan kerana berandaian setiap hari mengharungi kesesakan berjam-jam.

Berdasarkan kiraan sehala bagi perjalanan 10 kilometer, warga Kuala Lumpur menghabiskan masa 159 jam memandu tahun lepas. Daripada jumlah itu, 75 jam tersangkut dalam kesesakan lalu lintas. Pada tahun 2021, purata tersangkut hanya 48 jam.

Pertambahan waktu ini kemungkinan besar kerana bertambahnya kenderaan di ibu negara dalam tempuh setahun. Sistem lalu lintas di Kuala Lumpur pula tidak dapat bergerak sepantas pertambahan kenderaan.

Jalan-jalan baharu yang dibina atau ditambah baik lebih perlahan proses siapnya berbanding pertambahan kenderaan. Dengan itu kesesakan lalu lintas tidak dapat dielak.

Ramai tidak pernah mengira atau mencatat berapa lama masa tersangkut dalam kesesakan setiap hari bagi jarak waktu tertentu, apa lagi untuk mencari purata tersangkut dalam tempuh setahun.

Namun kadar waktu yang ditunjukkan oleh LILL 2022 tersebut boleh mencetuskan kegelisahan. Jika pada tahun 2022 ia meningkat daripada 2021, hampir pasti laporan tahun 2023 nanti bakal mencatatkan lagi peningkatan.

Sekali lagi ia kerana jumlah kenderaan di jalan-jalan di ibu kota yang memang diunjur bertambah setiap tahun. Ini hakikat yang tidak dapat dielakkan. Masakan pula hendak dihentikan penjualan kenderaan di negara ini!

Oleh itu satu cara yang boleh dilakukan ialah meminimumkan kesesakan dengan terus menambah baik infrustruktur jalan di samping mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya. Memaksimumkan penggunaan pengangkutan awam dilihat sedikit sebanyak dapat membantu.

Untuk itu orang ramai mesti dididik menaiki pengangkutan awam dan ‘dipujuk’ untuk tidak membawa kenderaan sendiri dalam menjalankan urusan seharian, termasuk untuk pergi balik kerja.

Bagi mencapai matlamat itu, perlu dipastikan sistem pengangkutan awam mestilah benar-benar efisen dan boleh diharap atau reliable, misalnya menepati waktu dan tidak kerap tergendala.

Inilah cabaran yang perlu ditangani oleh pengendali pengangkutan awam seperti Aliran Transit Ringan LRT, Transit Aliran Massa (MRT), monorail, bas dan teksi. Kebelakangan ini pun sudah berlalu banyak gangguan perkhidmatan LRT seperti dilaporkan media. Ini tidak disukai pengguna.

Jika isu pengangkutan awam ini dapat diselesaikan, dengan sendiri lebih ramai menggunakan pengangkutan awam daripada berkenderaan sendiri. Tidak perlu memikirkan memandu, parkir dan bayaran parkir.

Langkah ini juga diharap dapat membantu hasrat kerajaan mahu menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya rendah karbon agar warga kota kurang dibelenggu pencemaran, sebaliknya menghirup lebih bayak udara bersih.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Puad Zarkashi sah tidak pertahan DUN Rengit, beri laluan kepada pemimpin muda

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan...

More Articles Like This