Tertuduh,William Khor Wai Loon ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Ampang, hari ini bagi menghadapi dua pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong di media sosial pada November tahun lalu.

SEORANG pereka dalaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang pagi ini atas dua pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong di media sosial pada November tahun lalu.

Tertuduh, William Khor Wai Loon, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob, pagi ini.

Mengikut pertuduhan asal, tertuduh didakwa telah mengeluarkan kenyataan dengan menyebut kata-kata yang menghasut yang mempunyai kecenderungan mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong

Kenyataan menghasut itu ialah; “Rakyat Malaysia, bangun dan protes. Kita tidak lagi perlukan kerabat di-Raja Agong. Kita perlukan rakyat bukannya bukannya kuasa Agong yang kononnya misteri.

“Siapa mereka? Mereka manusia korup. Betul? Malaysia sangat teruk untuk mempunyai orang seperti ini. Minda yang korup, bangsa yang korup, dan hubungan yang korup.

“Bolehkah mereka dihapuskan dari bumi dan seluruh dunia? Mengapa orang yang mempunyai minda yang jahat wujud? Mengapa biarkan orang korupsi terus memimpin kita? Bangun dan bunuh mereka, bunuh demi demokrasi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Taman Bukit Teratai, Ampang sekitar jam 3.31 pagi pada 20 November 2022.

Justeru bagi pertuduhan itu, tertuduh yang juga didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 [Akta 15] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih daripada 3 tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih daripada satu tahun, atau denda RM50,000, atau kedua-duanya sekali serta boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aiza Ali Raman menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh selain syarat tambahan tertuduh tidak boleh membuat sebarang hantaran bersitat jelik di media cetak dan elektronik dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun Peguam Rajsurian Pillai yang mewakili tertuduh memohon jaminan sebanyak RM5,000 ekoran tertuduh menyara bapa yang mempunyai masalah kesihatan dan ibu yang merupakan bekas pesakit kanser.

Susulan itu, Hakim Wan Mohd Norisham membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan melapor diri di balai polis sebulan sekali, dan tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang komen berkenaan kes itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 April depan bagi sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.