Ini kisah GOODYEAR, pencipta yang tidak dapat menikmati kemasyhuran atas penemuannya   

Dari Penulis

Charles Goodyear, lahir pada 29 Disember 1800. Untuk sebahagian hidupnya, beliau terlalu banyak memikirkan tentang getah. Beliau tertarik dengan getah sebenarnya secara tidak sengaja. Pada suatu hari sekitar tahun 1834 ketika sedang berjalan melalui deretan kedai di bandar New York, Charles tertarik dengan pelampung keselamatan getah yang dipamerkan di tingkap sebuah kedai di situ.

Beliau mengambil pelampung tadi lalu memeriksa dengan teliti. Selepas dibelek-belek, beliau dapati pelampung tersebut mempunyai kecacatan pada bahagian injapnya. Charles segera pulang ke rumah bersama pelampung tadi lalu mencipta satu injap baru untuk pelampung tersebut. Selepas beberapa hari, beliau memulangkannya semula.

Charles pasti pemilik kedai itu akan membeli ciptaan barunya itu. Tetapi, jangkaannya meleset. Pemilik tersebut memberitahu masalah utama pada pelampung tersebut bukan pada injapnya, tetapi getahnya.

Kata pemilik itu, walaupun getah mempunyai keanjalan yang hebat tetapi ia juga mempunyai kelemahan. Semasa dalam keadaan cuaca sejuk, getah pelampung tersebut akan menjadi sangat rapuh sehingga boleh pecah menjadi serpihan. Apabila cuaca panas pula pelampung itu akan menjadi melekit selain mengeluarkan bau busuk.

“Itulah masalah utama. Cari penyelesaian masalah ini dan kami akan membayar dengan harga yang tinggi,” tawar pemilik kedai tersebut.

Charles tertarik dengan tawaran tersebut. Beliau yakin sekiranya berjaya menyelesaikan masalah ini, beliau akan menjadi kaya. Hidupnya sebagai jurujual akan berubah.

Charles Goodyear.

Sejak itu, Charles mula ketagih dengan getah. Hampir setiap hari dia menghabiskan waktu bergelumang dengan getah. Dengan duit yang tidak seberapa, dia membeli kepingan-kepingan getah besar yang kemudiannya di cincang kecil, dimasukkan ke dalam kuali, menambah bahan kimia tertentu sebelum memanaskan semua campuran tersebut sehingga cair. Beliau melakukan pelbagai eksperimen.

Getah yang dicairkan dengan campuran kimia dituang sebelum dibiarkan beku semula. Selesai ujian pertama, beliau membuat ujian seterusnya dengan kaedah sama tetapi mencampurkan bahan kimia berbeza. Itulah yang dilakukan Charles hampir setiap hari.

Semua campuran kepingan getah yang telah mengeras digantung di sekeliling dinding luar rumahnya. Beliau buat begitu untuk melihat kesan suhu ke atas getah yang dihasilkannya itu.

Selama lima tahun, beliau menumpukan perhatian ke atas eksperimennya ini. Dari sihat, tubuhnya mula kurus, penat, pucat sehingga menjejaskan kesihatannya.

Charles juga mula menjual sedikit demi sedikit barangan dalam rumahnya bagi menampung perbelanjaan untuk membeli makanan, pakaian dan tentunya untuk membeli getah keping bagi meneruskan kajiannya itu.

Namun, hampir lima tahun mencuba, eksperimennya belum membuahkan hasil. Semuanya mengalami kegagalan. Tetapi, Charles tidak berputus asa. Beliau meletakkan keyakinan dia akan berjaya menyelesaikan masalah tersebut.

Bertahun-tahun Charles melakukan eksperimen untuk mencari penyelesaian.

Suatu hari sekitar tahun 1839, secara tidak sengaja telah berlaku kemalangan kecil ketika beliau sedang melakukan eksperimen. Ketika itu, Charles sedang bekerja dengan getah, sulfur dan plumbum putih. Sambil mengacau, campuran tersebut terpercik di atas dapur yang panas. Apa yang dilihatnya menakjubkan. Campuran itu tidak cair seperti yang dijangkakannya.

Apabila terkena haba, campuran tadi berdesir dan hangus di bahagian tepinya sahaja. Kemudian beliau menuangkannya lagi. Keputusan diperoleh tetap sama. Apa yang menakjubkan, beliau mendapati campuran getah ini lebih fleksibel, mudah dibentuk, tidak rapuh apabila sejuk dan tidak melekit apabila panas.

Kali ini, Charles yakin usahanya mula membuahkan hasil. Penemuan ini beliau namakan dengan nama getah yang divulkan sempena nama Vulcan iaitu dewa api bagi masyarakat Rom.

Charles telah menjumpai kombinasi kimia yang tepat untuk membuat getah yang divulkan. Tapi dia masih tertanya-tanya, berapa banyak haba yang diperlukan untuk menghasilkan getah ini? Adakah faktor haba mempengaruhi penemuannya ini?

Tempoh lima tahun seterusnya, Charles terus menjalankan eksperimen bagi mencari jawapan kepada permasalahan haba pula. Dalam tempoh ini, kesihatannya semakin merosot. Hidupnya juga semakin sukar.

Penemuan Charles mendatangkan banyak manfaat dalam kehidupan.

Suatu hari selepas 10 tahun berjuang mencuba dengan pelbagai dugaan, Charles berjaya dalam eksperimennya. Beliau dapat membuktikan haba merupakan faktor yang menyebabkan getah melekit dan faktor haba juga yang diperlukan untuk menghilangkan sifat melekit ini.

Beliau dapati getah yang dipanaskan empat hingga enam jam dengan suhu 270 darjah Fahrenheit akan memberikan hasil seragam yang memuaskan. Dia mendedahkan kejayaan eksperimennya ini kepada orang ramai tetapi Charles hanya ditertawakan. Mereka tidak percaya kerana sejak sedekad lalu semua kajiannya  hanya menemui kegagalan.

Pun begitu, Charles tetap mempatenkan penemuannya untuk getah yang divulkan pada tahun 1844. Namun, semua ini tiada makna buat Charles apabila muncul individu lain yang mengaku bahawa mereka telah mencipta getah yang telah divulkan terlebih dahulu.

Charles akhirnya menjual rahsia penemuannya ini kepada pengilang. Sementara pengilang mendapat keuntungan, Charles pula terus miskin sepanjang hidupnya.

Charles meninggal dunia pada 1 Julai 1860 ketika berusia 59 tahun. Pun begitu, sebuah syarikat pengeluar tayar terbesar dunia memberi nama syarikat mereka dengan nama GOODYEAR sebagai mengenang jasa dan usahanya itu.

Jika anda pakai tayar jenama Goodyear, ia bukan bermaksud tahun yang bagus, tapi ia adalah nama seorang pencipta yang tidak dapat menikmati kemasyhuran atas penemuannya itu. 

Charles Goodyear.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Nonny Nadirah disuruh pakai seluar dalam terbalik, elak sihir

Bukan semua kisah cinta berakhir dengan kebahagiaan. Ada yang berakhir dengan tangisan. Ada yang berakhir dengan kekecewaan. Namun bagi penyanyi dan...

More Articles Like This